Moto3: Khairul Idham digesa beri komitmen tinggi
Astro Arena
Oktober 5, 2020 07:49 MYT
Oktober 5, 2020 07:49 MYT
PRINSIPAL Petronas-Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali, kecewa dengan prestasi pelumba-pelumba tempatan apabila dibandingkan dengan pelumba luar negara.
Razlan meluahkan kekecewaannya terhadap elemen sikap dan latihan sehingga mempengaruhi kemerosotan prestasi pelumba Moto3, Khairul Idham Pawi, sepanjang aksi MotoGP.
"Ini satu topik yang sensitif.
"Saya akan dikecam sekali lagi tetapi secara jujurnya, pelumba kita jika dibandingkan dengan pelumba di Eropah daripada segi latihan dan sikap memang ada perbezaannya.
"Kalau saya berbual contohnya dengan Khairul Idham, dia pastinya akan cakap dia bersemangat tinggi, tidak mungkin dia akan cakap tidak tinggi.
"Di litar, menerusi kajian data sebelum dan selepas perlumbaan, catatan Xavi Vierge misalnya sememangnya membuktikan bahawa dia giat menjalani latihan," katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, Razlan meluahkan kekecewaan terhadap penunggang kelahiran Perak itu melakukan latihan berbasikal bersama pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah.
Di sebalik pasukannya sudah menyediakan program latihan di bawah kendalian Aleix Santacreu, Khairul Idham memilih untuk tidak mengikuti latihan bermotor bersama pelumba seperti Fabio Quartararo, Vierge dan John McPhee.
Selain itu, masa depan pelumba berusia 22 tahun berkenaan bersama SRT semakin pudar sekiranya dia terus gagal memperbaiki prestasinya dalam baki enam perlumbaan lagi.
"Dalam pusingan pertama dan kedua di litar sama, kami beri 'potongan harga' (beri muka), (apatah lagi) dia cakap tiada masalah langsung.
"Jadi kami mengharapkan kebangkitannya dalam pusingan kedua, juga kami tidak nampak.
"Begitu juga di litar kegemarannya di Sepanyol (dua minggu lalu), jadi tidak tahu berapa lama kami akan gunakan alasan keadaan jarinya.
"Saya sudah di tahap yang kecewa kerana dia menamatkan perlumbaan di tempat terakhir.
"Dia mengadu menghadapi masalah dengan jentera tetapi mengapa dalam sesi pemanas badan dan kelayakan.
"Sebab itulah saya agak keliru kerana mengapa dia tidak bertindak mengatasinya sebelum perlumbaan sebenar," katanya lagi.
#prinsipal
#Petronas-Yamaha
#Sepang Racing Team
#SRT
#Razlan Razali
#kecewa
#merosot
#pelumba
#luar negara
#MotoGP
#sikap
#latihan
#Khairul Idham Pawi
#Moto3
#dikecam
#Hafizh Syahrin Abdullah
#Moto2
#litar
#potongan harga