Moto3: Kesilapan bawa padah buat Khairul Idham Pawi di Mugello
Astro Arena
Mei 22, 2016 19:30 MYT
Mei 22, 2016 19:30 MYT
Pelumba negara, Khairul Idham Pawi, tidak mampu mengulangi tunggangan mantap ketika sesi kelayakan Moto3 semalam apabila terbabas dengan perlumbaan memasuki pusingan terakhir di Litar Mugello dalam GP Italia.
Khairul Idham mempamerkan tunggangan mantap untuk meraih petak ketiga perlumbaan ketika sesi kelayakkan pada Sabtu.
Namun, sebaik perlumbaan hari ini dimulakan, Super KIP tidak mampu bersaing dengan pelumba lain, sekali gus jatuh hingga ke kedudukan ke-10.
Apabila perlumbaan berbaki sembilan pusingan, Khairul Idham jelas ditekan pelumba lain dan menyukarkan keadaan untuknya memperbaiki kedudukan.
Namun, kesilapan pada pusingan akhir membawa padah buat pelumba Honda Racing Asia itu.
Tempat pertama dimenangi pelumba Afrika Selatan, Brad Binder.
Pelumba berusia 20 tahun itu menamatkan perlumbaan dengan kepantasan 39 minit 49.382 saat, hanya dibezakan 0.038 saat di hadapan Fabio Di Giannantonio.
Francesco Bagnaia yang bermula dipetak kelapan, menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.
Seorang lagi pelumba negara, Adam Noorodin, yang mewakili pasukan Drive M7 SIC sekadar menduduki tempat ke-22.