Moto2: Hafizh terharu Tunku Ismail mahu hulur bantuan
Astro Arena
Jun 8, 2021 08:58 MYT
Jun 8, 2021 08:58 MYT
'TIADA kata boleh jelaskan saat ini.'
Itu reaksi pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, mengenai kenyataan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang menyatakan minat untuk membantu Hafizh dalam saingan kejuaraan dunia Moto2.
Tunku Ismail menyatakan minat untuk menaja pelumba Moto2 negara itu, menerusi sesi secara langsung Instagram bersama Hafizal Hamad dan Zulhelmi Zainal Azam, menyatakan sentiasa sedia membantu atlet negara yang memerlukan bantuan.
Tunku Ismail juga menyatakan bahawa harus ada perjumpaan ataupun perbincangan terlebih dahulu mengenai perancangan Hafizh sebelum bantuan dapat dihulurkan.
"Saya suka melihat sikap, perwatakan dan keazamannya ketika berlumba. Mungkin saya akan cuba membantunya.
"Buat masa ini, kami masih belum berjumpa, dan perbincangan harus dilakukan terlebih dahulu," kata Tunku Ismail.
Hafizh juga berkongsi kepada wartawan Astro Arena, Muiz Aziz, mengenai perlumbaan terkininya yang menyaksikan El Pescao menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-20.
"Pertukaran kelengkapan membantu meningkatkan pecutan, namun ia menaikkan suhu jentera, tetapi ia menyukarkan saya untuk memperoleh keputusan yang lebih baik.
"Saya mungkin akan melakukan pertukaran dalam perlumbaan seterusnya," kata Hafizh.
"Saya tidak sangka Tunku Ismail berminat untuk membantu dalam sukan permotoran.
"Buat masa ini, saya teruja dan terharu dengan perkhabaran ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana berminat untuk membantu saya."
#Tunku Ismail Sultan Ibrahim
#Instagram
#TMJ
#sukan
#Moto2
#Hafizh Syahrin Abdullah
#Tajaan
#menaja
#el pescao
#perlumbaan
#bantu
#atlet
#perbincangan
#suhu jentera
#pertukaran kelengkapan