Morten Frost umum 'pasukannya' esok

Bernama
Mac 30, 2015 23:19 MYT
Barisan jurulatih negara yang akan mengekalkan kontrak dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal diketahui esok. - Gambar Fail
Barisan jurulatih negara yang akan mengekalkan kontrak dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bakal diketahui esok.
Pengarah Teknikal BAM Morten Frost Hansen berkata rundingan berhubung kontrak baharu hari ini, berjalan lancar dengan beberapa jurulatih menyatakan kesediaan menyambung khidmat mereka dengan badan induk badminton negara itu.
"Kontrak mereka akan berakhir esok dan siapa yang kekal atau meninggalkan BAM akan diumumkan esok.
"Kebanyakan mereka bersetuju memperbaharui kontrak, namun sebahagian lagi masih mempertimbangkan tawaran tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini hari ini.
Sebanyak 17 jurulatih menghadiri mesyuarat tersebut hari ini, termasuk Rashid Sidek, Tey Seu Bock, Wong Tat Meng, Jeremy Gan, Pang Cheh Chang dan Rosman Razak.
BAM memiliki 22 jurulatih dan tiga daripada mereka iaitu Tan Kim Her, Hendarawan dan He Guoquan masih mempunyai kontrak sehingga tahun depan, manakala dua jurulatih lagi berada di Eropah.
Kontrak jurulatih kebangsaan termasuk Rashid, Seu Bock, Wong, Pang, Rosman, Jeremy Gan dan Wong Pei Tty berakhir pada Disember tahun lepas, namun dilanjutkan sehingga 31 Mac ini.
Frost berkata kontrak baharu itu secara umumnya termasuk melibatkan gaji baharu dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan kepada jurulatih serta pemain.
"Kontrak itu hanya sebuah kontrak dan ia melibatkan wang. Ada yang gembira, ada sebaliknya. Ini kehidupan sebenar," katanya.
Frost yang mula dilantik Pengarah Teknikal BAM awal bulan ini, berkata beliau mahu melaksanakan pelannya itu secepat mungkin bagi menentukan kedudukan jurulatih dan pemain serta menetapkan sasaran kepada mereka.
#badminton #BAM #jeremy gan #Lee Chong Wei #morten frost #Pang Cheh Chang #rashid sidek #Rosman Razak. #Tey Seu Bock #Wong Tat Meng
;