Morbidelli letak sasaran lebih tinggi dalam musim ketiga bersama SRT
Bernama
Mac 2, 2021 07:24 MYT
Mac 2, 2021 07:24 MYT
KUALA LUMPUR: Selepas menamatkan Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP) selaku naib juara tahun lepas, Franco Morbidelli sedar bahawa hanya satu cara sahaja yang tinggal untuk memperbaiki pencapaiannya dengan menamatkan musim 2021 sebagai juara dalam siri perlumbaan yang akan bermula di Litar Losail, Qatar penghujung bulan ini.
Pelumba Itali yang mewakili Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) semenjak penyertaan sulung pasukan dari Malaysia dalam kelas perdana itu pada 2019, bertekad untuk melakukannya apabila kembali mencelapak jentera Yamaha YZR-M.
"Sasaran peribadi saya untuk 2021 ialah untuk jadi bertambah baik, mempertingkatkan diri sebagai seorang individu, seorang pelumba dan seorang atlet.
"Saya tahu ia adalah susah dan sukar kerana pada tahun lepas kami agak pantas, melakukan tunggangan yang baik dan mencapai keputusan yang cemerlang," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pelumba berusia 26 tahun itu menikmati kemanisan kejayaan musim lepas, memenangi tiga perlumbaan dan menamatkan perlumbaan masing-masing sekali di tempat kedua dan ketiga daripada 14 perlumbaan yang disertainya.
Mengenai perkongsian garaj dengan mentornya dan legenda sukan MotoGP Valentino Rossi, Morbidelli menjangkakan musim yang hebat buat kedua-dua pelumba Itali itu.
"Kami menikmati persahabatan erat beberapa tahun lamanya dan kami belajar daripada satu sama lain. Saya pasti berjuang untuk Petronas Yamaha SRT dan bersaing dengan Vale (Rossi) akan menjadi cabaran paling penting dan menyeronokkan dalam kerjaya saya.
"Ini merupakan tahun ketiga saya bersama pasukan dan banyak yang saya suka mengenai pasukan ini. Yang paling utama ialah orang-orangnya, mudah untuk bekerja dengan kumpulan sama kerana anda dapat mengenali mereka yang bekerja di dalam," katanya.
-- BERNAMA
#franco morbidelli
#MotoGP
#Petronas
#Grand Prix
#sukan
#Sepang
#Itali
#Qatar
#Malaysia
#gp motosikal
#perlumbaan
#SRT
#Sepang Racing Team
#Yamaha YZR-M
#sasaran peribadi
#Valentino Rossi