MOM setuju tempatkan semula ibu pejabatnya ke kawasan yang mudah diakses dan kurang sesak

Bernama
September 14, 2021 00:31 MYT
Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata ibu pejabat baharu itu dirancang untuk menjadi sebuah hab sukan lengkap dengan ruang pejabat dan kemudahan latihan prestasi tinggi. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Mesyuarat pertama Lembaga Pengarah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal 2021-2025 hari ini memutuskan untuk menempatkan semula ibu pejabatnya ke lokasi yang lebih mudah diakses dalam tempoh tiga atau empat tahun akan datang.
Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata ibu pejabat baharu itu dirancang untuk menjadi sebuah hab sukan lengkap dengan ruang pejabat dan kemudahan latihan prestasi tinggi untuk memenuhi semua keperluan pihak berkepentingan dalam majlis itu.
"Kami akan memindahkan ibu pejabat kami ke lokasi yang lebih mudah dikunjungi atau diakses oleh pihak berkepentingan," katanya dalam satu sidang media selepas kunjungan rasmi Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Wisma OCM, di sini pada Selasa.
Wisma OCM setinggi sembilan tingkat yang dibina pada 1991 di Jalan Hang Jebat di sini, menempatkan pejabat MOM dan beberapa persatuan sukan, selain daripada memiliki beberapa kemudahan dewan dan Hotel Olimpik yang diuruskan pihak ketiga.
Sementara itu, Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Najib semasa menerangkan rancangan itu berkata pihak lembaga bersetuju dengan keputusan Mohamad Norza untuk menempatkan semula ibu pejabat majlis itu, kemungkinan ke kawasan Putrajaya atau Bukit Jalil.
Ditanya mengenai rasional perpindahan ke lokasi lebih jauh dari tengah bandar raya, yang lebih dekat dengan pejabat kebanyakan persatuan sukan kebangsaan (NSA), Mohd Nazifuddin berkata MOM sedang mencari kawasan yang tidak sesak dan dilengkapi semua kemudahan di bawah satu bumbung.
"Ideanya adalah menjual bangunan ini dan keuntungannya akan digunakan membina kemudahan baharu ini , saya hanya boleh berkongsi setakat ini. Kawasan ini akan ada bangunan pencakar langit Merdeka 118 dan beralih ke arah menjadi sebuah daerah kewangan, sementara di Putrajaya lebih banyak kemudahan sukan dan hab sukan bakal dibina di sana.
Kami mencari sebuah bangunan baharu kerana bangunan ini juga sudah lama, kos menaik taraf dan mengurus bangunan ini menelan belanja setengah juta ringgit setahun, sangat mahal bagi MOM. Jadi, kami sedang mencari sebuah bangunan yang cukup besar untuk menampung semua 56 ahli gabungan di bawah MOM dan kami akan menyediakan ruang kerja dan kemudahan bersama untuk mereka," katanya.
Beliau juga mendedahkan Timbalan Presiden MOM Datuk Hamidin Mohd Amin yang merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemasaran, Penajaan dan Penempatan Semula yang baharu untuk mengendalikan hal penempatan semula itu.
Sebelum ini, FAM dilaporkan akan berpindah dari Wisma FAM di Kelana Jaya ke Bandar Bola Sepak di Putrajaya menjelang 2023, yang juga dirancang untuk menempatkan pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).
Sementara itu, Mohamad Norza berkata lembaga pengarah juga bersetuju untuk berusaha mendapatkan skim pencen untuk atlet, pemodenan pengurusan MOM dan NSA dan meneroka penganjuran temasya sukan bersama negara jiran.
Beliau juga mengumumkan pengerusi Jawatankuasa Tetap MOM dan chef de mission (CDM) untuk temasya sukan akan datang.
Pembantu Setiausaha Agung MOM Moira Tan akan mengetuai kontinjen negara bagi Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 sementara Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Presiden Persekutuan Wushu Malaysia Datuk Chong Kim Fatt masing-masing dilantik selaku CDM untuk Sukan Komanwel dan Sukan Asia, tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap MOM:
Pemilihan: Tan Sri Mohamad Norza Zakaria
Temasya Sukan MOM: Datuk Shahrul Zaman Yahya
Wanita dan Sukan: Datuk Mumtaz Jaffar
Kewangan: Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin
Perancangan Strategik: Datuk Mohd Nasir Ali
Akademi Olimpik Kebangsaan: Nicholas Chan
Chef de Mission:
Sukan Olimpik Musim Sejuk (Feb 2022): Moira Tan
Sukan Dalam Dewan dan Seni Mempertahankan Diri Asia (Mac 2022): Datuk Megat Zulkarnain Omardin
Sukan Komanwel (Julai - Ogos 2022): Datuk Shahrul Zaman Yahya
Sukan Solidariti Islam (Ogos 2022): Datuk Ahmad Feisal Ahmad Tajuddin
Sukan Asia (Sept 2022): Datuk Chong Kim Fatt
Sukan Remaja Asia (Dis 2022): Datuk Mumtaz Jaffar
Sukan SEA (Akan Disahkan): Datuk Nur Azmi Ahmad (menggantikan Hamidin)
-- BERNAMA
#MOM #Majlis Olimpik Malaysia #Mohamad Norza Zakaria #Ibu pejabat
;