MOM sedia bantu atlet trans-gender
Astro Arena
Januari 26, 2016 16:08 MYT
Januari 26, 2016 16:08 MYT
MALAYSIA tidak akan membantah sekiranya Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) meluluskan cadangan membenarkan atlit trans-gender beraksi di Sukan Olimpik Rio 2016.
Secara dasarnya, Setiausaha Agung MOM, Datuk Low Beng Choo berkata Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak mahu menyekat atlet dan bersedia menghulurkan bantuan kepada atlet yang menghadapi dilema ini.
"Kami fikir dibawah IOC sememangnya salah satu polisinya adalah tiada diskriminasi.
"Ini bukanlah satu pendirian, tapi kami percaya bahawa tiada diskriminasi bagi para atlet sekalian.
"Oleh sebab itu sekiranya ada mana-mana atlet yang mungkin berada dikategori bermasalah dalam jantina bolehlah datang ke MOM kerana kami mempunyai jawatan kuasa perubatan dan anti doping.
"Kami boleh membantu mereka sebab ada syarat-syarat tertentu dari OIC supaya mereka dapat mengambil bahagian," kata beliau.
Tambah Low lagi, Malaysia turut tidak terkecuali berhadapan dengan isu itu dan mempelawa atlet-atlet yang menghadapi masalah ini supaya tampil ke MOM.
"Kami memang pernah mempunyai beberapa atlet yag boleh dikatakan ada kontroversi sedikit mengenai jantina mereka. Oleh itu atlet-atlet boleh ke MOM untuk membantu mereka."