MOM nasihat pemegang taruh industri sukan patuhi SOP ketat
Bernama
Jun 8, 2020 21:41 MYT
Jun 8, 2020 21:41 MYT
Semua pemegang taruh dalam industri sukan negara digesa supaya mematuhi dengan rapi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan oleh kementerian yang berkaitan bagi menamatkan penularan COVID-19 dalam negara.
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan pelbagai aktiviti sukan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkata, industri sukan dan kecergasan perlu mengamalkan disiplin kendiri dan urus tadbir baik bagi menewaskan penularan pandemik itu.
"Kesihatan dan kebajikan semua ahli sukan perlu menjadi keutamaan penting kita, bersama kita boleh menewaskan musuh yang tidak dapat dilihat ini, dan sehubungan itu saya menggesa semua pihak untuk mengamalkan normal baharu yang diguna pakai dalam sukan.
"Akhir sekali, marilah kita bersama melaksanakan peranan kita biar sekecil mana sekalipun bagi memastikan tahap toleransi kekal utuh, dan menghormati SOP yang telah digariskan kerajaan," menurut Norza dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh MOM.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan beberapa jenis sukan dan aktiviti rekreasi akan dibenarkan di bawah PKPP mulai Rabu ini dengan pematuhan rapi terhadap SOP ketat yang ditetapkan.
Antara yang dibenarkan adalah acara sukan yang tidak melibakan sentuhan fizikal seperti boling, badminton, memanah, menembak, berbasikal serta berkonvoi, manakala yang masih belum dibenarkan adalah seperti berenang, ragbi, tinju, bola sepak, bola keranjang dan hoki.
-- BERNAMA
#kesihatan
#Mohamad Norza Zakaria
#pandemik
#pemegang taruh
#perintah kawalan pergerakan
#SOP
#sukan