MOM harap pindah ke bangunan baharu menjelang Sukan SEA 2027 - Nazifuddin
Bernama
Disember 28, 2024 15:15 MYT
Disember 28, 2024 15:15 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berharap dapat beroperasi dari bangunan baharu dikenali sebagai Olympic House Malaysia, menjelang Sukan SEA 2027 yang bakal dianjurkan Malaysia.
Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Najib bagaimanapun mengakui proses perpindahan dari Wisma OCM, Jalan Hang Jebat di sini ke pejabat baharu di Bukit Jalil sebelum temasya berkenaan sebagai sesuatu yang agak mencabar.
Beliau berkata dalam hal ini MOM telah memutuskan untuk memajak tanah seluas 2.02 hektar di sebelah Stadium Hoki Nasional daripada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM).
"Kita akan tukar (tanah Wisma OCM) dengan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB). Kita sedang menunggu Kabinet keluarkan kebenaran, jika tanah itu dah dapat disewakan dan dibayar, kita boleh serahkan kepada MRCB untuk jalankan pembangunan," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Malaysia Kidslympic 2024 di Stadium Merdeka di sini hari ini.
Mohd Nazifuddin berkata MOM juga akan menilai kos yang perlu ditampung dengan 0.8 hektar dijangka digunakan untuk pembinaan pejabat, manakala bakinya untuk parkir, taman dan kawasan latihan.
Status pajakan bagi tanah Wisma OCM seluas kira-kira 0.72 hektar atau 1.8 ekar yang dibina pada 1991, akan tamat pada 2077. Wisma OCM terletak di kawasan berhampiran venue ikonik seperti Stadium Merdeka, Stadium Negara serta pencakar langit kedua tertinggi dunia, Merdeka 118.
MOM membuat keputusan berpindah ke Bukit Jalil kerana kebanyakan kemudahan sukan telah berpindah ke kawasan itu, selain kesesakan untuk mengakses Wisma OCM yang berada di tengah-tengah ibu kota.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 11 Dis berkata pembinaan bangunan baharu itu telah dipersetujui Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh bagi pihak kerajaan.
Sementara itu Pengarah Akademi Olimpik Kebangsaan Malaysia (NOA) Nicholas Chan berkata Malaysia Kidslympic yang julung-julung kali diadakan itu, melibatkan lima sukan yang terdiri daripada olahraga, gimnastik, bola tampar, besbol/sofbol dan pentatlon moden yang akan dianjurkan di Sukan SEA Thailand tahun depan.
"Porgram ini melibatkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dengan kami jangkakan dapat tarik lebih kurang 800 peserta secara keseluruhan menjelang penutup esok. Program ini merupakan pendedahan awal kepada mereka di akar umbi merasai pengalaman pertandingan dan suasana stadium sebenar," katanya.
-- BERNAMA