MOM gugurkan keahlian ISAM
Bernama
Januari 8, 2019 07:49 MYT
Januari 8, 2019 07:49 MYT
Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM) sah digugurkan keahlian sebagai anggota gabungan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkuat kuasa serta merta.
Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata ia susulan keputusan Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) membatalkan pendaftaran persatuan berkenaan berkuat kuasa pada 18 Mei lepas kerana gagal menghantar maklumat tahunan berkaitan persatuan sejak 2013 hingga 2018.
"Persekutuan Luncur Ais Malaysia (MISF) pula baru sahaja menghantar permohonan tidak rasmi kepada MOM sebagai ahli gabungan hari ini dan kita akan meneliti permohonan mereka dalam tempoh terdekat.
"Mereka perlu memenuhi beberapa kriteria ditetapkan PJS dan juga MOM sebelum dapat disahkan sebagai ahli gabungan MOM yang baharu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM kali kesembilan bagi penggal 2018-2021 di Wisma OCM, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Norza berkata MOM akan cuba membantu atlet di bawah naungan ISAM walaupun persatuan berkenaan tidak lagi menjadi anggota gabungan MOM.
"Kita akan melihat perkara itu satu per satu, dan sudah tentu kita akan membantu jika mereka memerlukan bantuan kita," katanya.
ISAM sebelum ini dilaporkan menghantar rayuan berhubung pembatalan tersebut, namun difahamkan rayuan mereka ditolak Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 29 Okt tahun lepas.
-- BERNAMA