MOM biayai sendiri kos delegasi ke Olimpik Paris 2024 - MSN

Bernama
Ogos 7, 2024 12:00 MYT
Menurut MSN, kos pembiayaan untuk delegasi MOM adalah di bawah tanggungan MOM dan bagi tetamu, mereka dibayar oleh pihak-pihak berkenaan dan tidak melibatkan dana kerajaan. - Gambar hiasan/REUTERS
KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini memaklumkan kos pembiayaan untuk delegasi Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke temasya Sukan Olimpik Paris 2024 adalah di bawah tanggungan MOM.
Dalam kenyataan hari ini, MSN turut menjelaskan kos pembiayaan bagi tetamu MOM pula ditanggung oleh pihak-pihak berkenaan dan tidak melibatkan dana kerajaan.
"MSN hanya bertanggungjawab membiayai kos perbelanjaan membabitkan atlet, jurulatih, pegawai MSN, Institut Sukan Negara (ISN) dan operasi Malaysia House untuk temasya Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
"Kos pembiayaan untuk delegasi MOM adalah di bawah tanggungan MOM dan bagi tetamu mereka dibayar oleh pihak-pihak berkenaan dan tidak melibatkan dana kerajaan," menurut kenyataan itu.
Malaysia setakat ini mengumpul dua pingat gangsa menerusi sukan badminton, yang disumbangkan beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki Lee Zii Jia.
Misi meraih pingat emas Olimpik pertama negara kini tertumpu kepada jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang menyasarkan untuk memperbaiki pencapaiannya dengan meraih emas dalam acara keirin, selepas memenangi pingat perak pada edisi Tokyo 2020.
-- BERNAMA
#Sukan Olimpik Paris 2024 #MSN #MOM #kos pembiayaan
;