MOM alu-alukan penganjuran Sukan SEA 2027

Bernama
Ogos 29, 2024 12:15 MYT
Penganjuran sukan dwitahunan itu buat kali ketujuh, akan memberikan manfaat besar merentasi sektor politik, ekonomi dan sukan, sekali gus mewujudkan impak positif di seluruh negara. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) hari ini mengalu-alukan keputusan Malaysia untuk menerima tawaran menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027 dan melihatnya sebagai peluang penting untuk mengaktifkan semula industri sukan negara.
MOM dalam satu kenyataan menyatakan bahawa penganjuran sukan dwitahunan itu buat kali ketujuh, akan memberikan manfaat besar merentasi sektor politik, ekonomi dan sukan, sekali gus mewujudkan impak positif di seluruh negara.
"MOM merakamkan penghargaan yang tinggi kepada Kerajaan Malaysia kerana bersetuju untuk menganjurkan edisi 2027.
"Keputusan ini menggariskan komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi untuk mempromosikan sukan dan memupuk kerjasama serantau," menurut kenyataan itu.
Rekod prestasi Malaysia berjaya menganjurkan Sukan SEA, sebelum ini dikenali sebagai Sukan Asia Tenggara (SEAP), termasuk tahun 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017.
Kali terakhir menjadi tuan rumah, Malaysia dinobat sebagai juara keseluruhan dengan pencapaian membanggakan dan memenangi 145 emas, 92 perak dan 86 gangsa.
Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) sebulat suara memberikan Malaysia, menerusi MOM sebagai Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC), hak penganjuran Sukan SEA 2027 pada 2022.
Keputusan itu selaras dengan penganjuran Thailand dan Singapura masing-masing pada 2025 dan 2029.
-- BERNAMA
#Sukan SEA 2027 #Malaysia #tuan rumah #Sukan Komanwel