Mohd Qabil 'penat', beri bayangan bersara
Bernama
Oktober 7, 2023 18:03 MYT
Oktober 7, 2023 18:03 MYT
SEPANG: Jaguh ekuestrian negara Mohd Qabil Ambak Mahamd Fathil memberi bayangan bakal mengucapkan selamat tinggal kepada sukan itu selepas berjaya melunaskan impiannya merangkul pingat emas dressage individu di Sukan Asia Hangzhou 2022.
Atlet berusia 43 tahun itu mengakui telah 'penat' mengerah keringat demi negara buat sekian lama selain mengambil kira faktor usia yang semakin meningkat dan mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga.
"Saya rasa dah lama dalam sukan ini, sudah 28 tahun dan terasa penat tetapi Alhamdulilah setiap kali bertanding saya tidak pulang dengan tangan kosong.
"Saya sudah enam kali sertai Sukan Asia dan akhirnya selepas lama menanti saya menang emas. Terima kasih kepada kedua ibu bapa saya yang telah banyak beri sokongan dan dorongan sejak umur 10 tahun lagi tanpa mengira wang ringgit. Tanpa mereka, ini semua tidak terjadi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini dari Hangzhou, hari ini.
Mohd Qabil pada masa sama berkata beliau tidak akan bertanding ke Sukan Olimpik 2024 di Paris selepas terlepas beberapa aksi kelayakan sebelum ini.
Bagaimanapun, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu tidak kesal dengan keputusan tersebut kerana penyertaan di Sukan Olimpik memakan perbelanjaan besar selain berdepan saingan cukup sukar untuk mencabar kedudukan pingat.
Dalam pada itu, beliau menaruh harapan agar pihak terlibat termasuk Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) merangka pelan jangka panjang dalam usaha mencungkil bakat baharu agar sukan ekuestrian terus menghadirkan kejayaan membanggakan buat negara.
Mohd Qabil mencipta sejarah membanggakan apabila menghadiahkan emas pertama Malaysia dalam sukan ekuestrian di Sukan Asia.
Saingan di Pusat Ekuestrian Tonglu menyaksikan Mohd Qabil bersama kudanya Rosenstolz cemerlang mengumpul keseluruhan 75.780 mata sekali gus mengetepikan juara bertahan Jacqueline Siu dari Hong Kong yang terpaksa berpuas hati dengan perak (73.450 mata), manakala Anush Agarwalla dari India membawa pulang gangsa (73.030 mata).
Mohd Qabil merupakan pemenang pingat perak pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia serta mengumpul dua gangsa masing-masing pada edisi 2010 di Guangzhou, China dan edisi 2006 di Doha, Qatar dalam acara sama.
Sementara itu, Presiden EAM Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman bersyukur pelaburan pihaknya sebanyak RM100,000 bagi membawa kuda Mohd Qabil ke Hangzhou dari Eropah membuahkan hasil dengan kejayaan bersejarah di China.
Abdul Aziz berkata EAM akan memohon bantuan Kementerian Belia dan Sukan untuk mendapatkan sekurang-kurangnya tiga ekor kuda yang memiliki baka berkualiti dalam usaha membantu atlet mereka memperoleh pencapaian membanggakan di persada antarabangsa.
-- BERNAMA