Mohd Poad cabar pelari pecut muda tonjol potensi di Sukma 2024
Bernama
April 2, 2024 00:34 MYT
April 2, 2024 00:34 MYT
KUALA LUMPUR: Jurulatih pecut negara Mohd Poad Md Kassim melontarkan cabaran kepada atlet-atlet baharu supaya menonjolkan potensi dengan melakukan kejutan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak.
Justeru, beliau menuntut atlet-atlet muda supaya mencatat larian sekurang-kurangnya 10.5 saat (s) sekali gus mampu menjadi barisan pelapis pelari pecut sedia ada.
"Sebab pelari sekarang seperti Jonathan Nyepa sudah 27 tahun, Khairul Hafiz Jantan 26 tahun, harap ada pelapis yang dapat membuat catatan 10.4s atau 10.5s.
"Pada masa ini, kita masih mengharapkan Muhammad Azeem Mohd Fahmi tapi dia di Amerika Syarikat. Jadi kita perlu pelapis buat catatan sebegitu untuk diketengahkan dan sebagai sandaran kepada atlet sedia ada," katanya ketika dihubungi Bernama.
Bagi kuartet 4x100 meter (m) negara, Mohd Poad berkata beliau masih mengintai empat pelari pecut terbaik untuk menggalas cabaran Malaysia pada kejohanan akan datang.
Pada Sukan Asia Hangzhou 2022, kuartet 4x100m dibarisi Muhammad Azeem, Khairul Hafiz, Muhammad Arsyad Md Saat dan Jonathan, manakala seorang lagi pelari Muhammad Haiqal Hanafi mengalami kecederaan buku lali pada ketika itu.
Bagaimanapun, Muhammad Haiqal kembali beraksi di Kejohanan Kuala Lumpur Allcomers dan membuktikan beliau masih 'berbisa' apabila menyambar pingat perak bagi acara 100m lelaki dengan catatan 10.59 saat (s) pada awal Mac lepas.
Dalam pada itu, Mohd Poad berkata skuad pecut negara bakal mengharungi enam Kejohanan Super Siri yang akan bermula di Johor Bahru pada 6 April depan.
Beliau berkata skuad pecut negara turut akan berentap di Kejohanan Olahraga Terbuka Hong Kong pada Mei serta Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia pada Jun.
"Kalau ikut senarai Super Siri saya rasa sudah memadai cuma mungkin atlet perlu dua atau tiga lagi kejohanan luar. Saya berharap Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dapat memperbanyakkan kejohanan antarabangsa kepada atlet negara," katanya.
-- BERNAMA