Mohd Nafiizwan catat keputusan mengejut di Kejohanan Skuasy Lelaki Dunia

Bernama
Oktober 30, 2016 10:45 MYT
Mohd Nafiizwan berkata beliau tidak menyangka mampu menewaskan pemain tinggi lampai Omar Mosaad dari Mesir itu. - Foto Bernama
Juara kebangsaan, Mohd Nafiizwan Adnan mara ke pusingan ketiga Kejohanan Skuasy Lelaki Dunia selepas membuat kejutan menewaskan pemain nombor tiga dunia, Omar Mosaad di Kaherah, Mesir, lewat Sabtu waktu tempatan (awal pagi Ahad waktu Malaysia).
Pemain negara yang menduduki ranking 33 dunia, menundukkan wakil tuan rumah itu dalam pertarungan maraton pusingan kedua yang berlangsung selama 102 minit, dengan 6-11, 11-8, 12-10, 1-11, 12-10 di Kelab Wadi Degla.
Mohd Nafiizwan berkata beliau tidak menyangka mampu menewaskan pemain tinggi lampai dari Mesir itu.
"Beliau banyak mengutip mata hasil kesilapan saya sendiri. Jadi, semuanya bergantung kepada disiplin permainan saya. Itulah yang saya usahakan bersama (jurulatih) Peter Genever dan James Simpson, penganalisis video kami.
"Bertenang, itu kata mereka kepada saya. Ternyata mereka betul," katanya seperti dilaporkan dalam laman web rasmi kejohanan www.wadideglaworldsquashchamps.com.
"Saya hanya mengingatkan diri untuk menikmati permainan saya. Memang saya menikmatinya ketika ini...tuah jelas memihak kepada saya.
"Sepanjang perlawanan saya hanya memikirkan ia mungkin perlawanan terakhir saya di kejohanan ini, jadi saya perlu berusaha 100 peratus," kata pemain yang berpangkalan di Manchester, England itu.
Di pusingan ketiga, Mohd Nafiizwan akan menentang seorang lagi pemain Mesir, Fares Dessouky selepas pilihan ke-15 itu menundukkan Gregoire Marche dari Perancis 13-11, 11-5, 8-11, 11-9 dalam satu lagi aksi pusingan kedua. -- BERNAMA
#Mohd Nafiizwan Adnan #Omar Mosaad #Skuasy Lelaki Dunia
;