Mohd Juwaidi wakil tunggal negara di suku akhir compound individu

Bernama
Oktober 2, 2023 23:44 MYT
Menanti Mohd Juwaidi di peringkat suku akhir esok ialah pemanah dari Korea Selatan Jaehoon Joo yang menewaskan Deki Adika Hastian dari Indonesia 149-147. - Gambar fail/Facebook Mohd Juwaidi Mazuki
HANGZHOU: Pemanah berpengalaman Mohd Juwaidi Mazuki menghidupkan peluang merangkul kilauan pingat selepas melayakkan diri ke suku akhir acara compound individu lelaki pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di Pusat Sukan Fuyang Yinhu, hari ini.
Atlet berusia 33 tahun itu yang membuat penampilan ketiganya di pentas Sukan Asia, mengesahkan tempat di suku akhir selepas mencatat kemenangan tipis ke atas wakil Bhutan, Tandin Dorji 147-146 pada pusingan penyingkiran 1/8 sekali gus menjadi wakil tunggal negara mara sejauh itu.
Menanti Mohd Juwaidi di peringkat suku akhir esok ialah pemanah dari Korea Selatan Jaehoon Joo yang menewaskan Deki Adika Hastian dari Indonesia 149-147.
Hasrat rakan senegara Alang Ariff Aqil Muhammad Ghaz untuk mara ke suku akhir tidak kesampaian apabila terpaksa akur dengan kehebatan pemanah dari Korea Selatan Jaewon Yang selepas tewas 145-149.
Bagi kategori wanita, Fatin Nurfatehah Mat Salleh kecundang pada pusingan penyingkiran 1/16 apabila tewas tipis 140-141 kepada Kanyavee Maneesombatkul dari Thailand.
Sementara itu dalam saingan recurve individu lelaki, Muhamad Zarif Syahiir Zolkepeli dan pemanah elit Khairul Anuar Mohamad masing-masing tewas di pusingan penyingkiran 1/16.
Muhamad Zarif tewas 0-6 di tangan Reza Shabani dari Iran sementara Khairul Anuar gagal menyaingi kehebatan Atanu Das dari India selepas tewas 4-6.
Nasib sama turut menimpa Ku Nurin Afiqah Ku Ruzaini dan Syaqiera Mashayikh dalam saingan recurve individu wanita selepas kempunan ke suku akhir apabila terkandas di pusingan penyingkiran 1/8.
Ku Nurin Afiqah kalah 4-6 kepada Satsuki Noda dari Jepun manakala Syaqiera tewas 3-7 di tangan pemanah China Hailigan.
Terdahulu, Malaysia turut mengesahkan tempat di suku akhir masing-masing dalam acara compound berpasukan campuran menerusi Mohd Juwaidi-Fatin Nurfatehah dan berpasukan lelaki terdiri daripada Mohd Juwaidi, Alang Ariff dan Mohamad Syafiq Md Ariffin.
-- BERNAMA
#kilauan pingat #compound individu lelaki #suku akhir #pusingan penyingkiran
;