Mohd Juwaidi sambut Aidilfitri dengan dua gangsa di Piala Dunia Memanah
Bernama
April 22, 2023 23:47 MYT
April 22, 2023 23:47 MYT
KUALA LUMPUR: Pemanah negara Mohd Juwaidi Mazuki menyambut Aidilfitri jauh di perantauan dengan membuat panahan yang memberikan dua pingat gangsa untuk negara di Piala Dunia Memanah Peringkat 1 di Antalya, Turkiye, hari ini.
Atlet memanah kompaun berusia 32 tahun itu mengekalkan tumpuannya untuk menamatkan masing-masing acara individu lelaki dan pasukan campuran bersama Fatin Nurfatehah Mat Salleh di tempat ketiga, menurut lawan sesawang rasmi Memanah Dunia.
Gandingan Mohd Juwaidi-Fatin Nurfatehah membawa pulang gangsa pasukan campuran itu selepas memenangi persaingan sengit menentang wakil Itali Marco Bruno-Elisa Roner dengan mata 19-18 dalam aksi penentuan pingat gangsa selepas kedua-dua pasukan seri 157 mata.
Terdahulu, wakil Malaysia itu tewas tipis kepada Ojas Pravin Deotale-Jyothi Surekha Vennam 155-157 dalam separuh akhir sebelum pasukan pilihan kedua dari India itu menumpaskan Chen Chieh Lun-Chen Yi Hsuan dari Taiwan 159-154 untuk muncul selaku juara acara itu.
Mohd Juwadi yang menduduki ranking ke-161 dunia, kemudian menambah kilauan pingatnya dengan mengecewakan pemanah nombor satu dunia dari Belanda Mike Schloesser 148-146 dalam aksi penentuan pingat gangsa.
Mohd Juwaidi gagal mara ke final selepas tewas 145-147 di tangan Jozef Bosansky dari Slovakia di separuh akhir.
Rabu lepas, Mohd Juwaidi memecahkan rekod kebangsaannya sendiri dalam pusingan kelayakan selepas mengutip 714 mata selepas 72 panahan untuk memadamkan rekod 709 mata sebelum ini dicipta di Kejohanan Memanah Asia 2019.
-- BERNAMA