Mohd Fitri terpaksa pulang awal dari Piala Asia 2017
Bernama
Oktober 15, 2017 21:29 MYT
Oktober 15, 2017 21:29 MYT
MALAYSIA terpaksa melupakan khidmat pemain berpengalaman, Mohd Fitri Saari apabila menentang Oman pada aksi terakhir kumpulan B Kejohanan Hoki Piala Asia di Dhaka, esok selepas pemain itu meminta kebenaran untuk pulang ke tanah air.
Pengurus pasukan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata pemain tengah berusia 24 tahun itu meminta kebenaran untuk kembali ke Malaysia bagi melihat anaknya, Muhammad Adam Zafran, yang dikatakan berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital swasta.
"Kami membuat keputusan untuk menerbangkan Mohd Fitri pulang ke Malaysia pada malam ini,"kata Mohd Nasihin yang dipetik sebagai berkata menerusi laman sesawang Konfederasi Hoki Malaysia; www.mhc.org.my.
Beliau berkata keputusan sama ada Mohd Fitri kembali ke Dhaka atau tidak bergantung kepada keadaan anak pemain berkenaan dan kem negara bersedia dengan sebarang kemungkinan bagi mengisi kekosongan dalam pasukan itu.
Mohd Nasihin bagaimanapun berkata, pemain berkenaan dijangka kembali menyertai skuad kebangsaan pada Selasa ini sekiranya keadaan anaknya bertambah baik.
Malaysia kini mendahului kumpulan B selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut iaitu menewaskan China 7-1 selain menundukkan juara bertahan, Korea Selatan 2-1 pada kejohanan berkenaan yang berlangsung dari 11-22 Okt ini.
-- BERNAMA