Mohd Azhar presiden baharu PAFA
Bernama
Disember 19, 2021 23:57 MYT
Disember 19, 2021 23:57 MYT
IPOH: Presiden Persatuan Bolasepak Daerah Hilir Perak Datuk Mohd Azhar Jamaluddin hari ini dipilih sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Perak Darul Ridzuan (PAFA) bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sejak 21 Jan tahun lepas.
Pemilihan Mohd Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong dipersetujui sebulat suara pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang dianjurkan 14 ahli gabungan PAFA di sini hari ini.
Mesyuarat turut melantik Setiausaha Politik Menteri Besar Perak Datuk Sham Mat Sahat sebagai Timbalan Presiden dan Setiausaha Persatuan Bola Sepak Daerah Kerian Tajul Hasnan Omar sebagai Setiausaha Kehormat PAFA yang baharu.
Mohd Azhar dan Sham dicalonkan oleh 13 ahli gabungan dan menang tanpa bertanding selepas pencalonan mereka diedarkan kepada seluruh gabungan pada Sabtu lepas.
EGM itu dihadiri 42 perwakilan mewakili 14 ahli gabungan PAFA manakala empat lagi ahli gabungan, Tanjung Malim, Batu Gajah, Kuala Kangsar dan Majlis Sukan India Perak tidak hadir.
Dalam sidang medianya, Mohd Azhar berkata tugasnya kini adalah mengembalikan semula perjalanan PAFA ke landasan yang betul selepas dilihat kehilangan nakhoda sejak awal tahun lepas.
-- BERNAMA
#Mohd Azhar presiden baharu PAFA
#Mohd Azhar Jamaluddin
#PAFA
#Perak
#Persatuan Bola Sepak Perak Darul Ridzuan
#Ahmad Faizal Azumu