Mohamed Salah dinamakan Pemain Terbaik Afrika 2017
Astro Awani
Januari 4, 2018 07:47 MYT
Januari 4, 2018 07:47 MYT
Pemain penyerang Liverpool Mohamed Salah dinamakan pemain terbaik Persekutuan Bola sepak Afrika 2017.
Salah menewaskan rakan sepasukannya dalam Liverpool dan pemain sayap dari Senegal, Sadio Mane, manakala penyerang Borrusia Dortmund, Pierre-Emerick Aubameyang di tempat ketiga.
Acara penganugerahan berlangsung di ibu negara Ghana, Accra, pada Khamis.
"Ini satu mimpi yang menjadi nyata bagi saya. 2017 ialah tahun yang sukar dipercayai untuk saya, sama ada untuk aksi peringkat kebangsaan bersama Mesir, mahu pun aksi di kelab-kelab.
"Layak ke Piala Dunia selepas 28 tahun dan mengalami musim yang hebat di Roma dan Liverpool merupakan momen istimewa dalam karier saya," kata Salah pada majlis itu.
Salah merupakan warga Mesir kedua memenangi anugerah itu selepas Mahmoud Al Khatib pada 1983.
Sebelum ini, penyerang Mesir itu turut dinobatkan sebagai Pemain Terbaik 2017 menerusi satu undian yang dijalankan saluran sukan, ESPN.
Pemain berusia 25 tahun itu, yang menjaringkan 17 gol dalam Liga Perdana musim ini, membantu Mesir layak ke pusingan akhir Piala Dunia dan Piala Negara Afrika 2017.
Disember lalu, Salah turut diundi sebagai pemain bola sepak terbaik Afrika, oleh Badan Penyiaran British (BBC).
Beliau menjaringkan 10 gol untuk kelab Roma antara Januari dan Mei 2017 sebelum memeterai kontrak dengan Liverpool ketika musim panas.
Beraksi dengan The Reds, Salah menyumbangkan 24 gol.
Salah turut menjaringkan dua gol untuk Mesir menang 2-1 ketika menentang Republik Congo dalam pusingan kelayakan Piala Dunia, yang menyaksikan negara itu ke pusingan akhir buat pertama kali sejak 1990.