Mohamad Yusof Hafizi ungguli ranking dunia berbasikal trek para
Bernama
Disember 5, 2024 05:30 MYT
Disember 5, 2024 05:30 MYT
KUALA LUMPUR: Pelumba berbasikal para negara Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin kini mengungguli ranking dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) bagi acara trek.
Jurulatih berbasikal para kebangsaan Salehuddin Mohd Noh dalam satu kenyataan berkata ia berdasarkan kiraan mata dilakukan selepas temasya Paralimpik 2024 Paris, baru-baru ini.
Beliau berkata Mohamad Yusof Hafizi berkongsi 640 mata dengan pesaingnya dari China Li Zhang Yu dan Liang Weichong, masing-masing pemenang pingat emas dan perak pada acara 3,000 meter (m) kejar mengejar individu dan emas 1 kilometer (km) ujian masa temasya Paralimpik 2024.
"Namun, Mohamad Yusof Hafizi mempunyai kelebihan kerana menyertai kejohanan yang lengkap termasuk Class Continental Championships," katanya dalam kenyataan semalam.
Kedudukan tersebut dijangka kekal hingga penghujung tahun ini kerana hanya tinggal beberapa kejohanan dalam kalendar perlumbaan UCI dengan kemungkinan besar tiada pelumba lain mampu memintas mata tersebut.
Bagi ranking acara lebuh raya, Mohamad Yusof Hafizi berada di kedudukan keenam serta masih mendahului pencabar terdekat daripada kalangan negara Asia iaitu China (Liang Weichong, ranking kesembilan dan Li Zhang Yu, 22).
Atlet berusia 26 tahun itu diletakkan sebagai atlet super elit dan menjadi tumpuan utama negara ke Sukan Paralimpik 2028 Los Angeles (LA28).
-- BERNAMA