Mohamad Ridzuan raih tempat keempat dalam lompat jauh T36

Bernama
September 12, 2016 23:58 MYT
Atlet Paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menamatkan saingan lompat jauh kategori T36 (cerebral palsy) di tempat keempat pada Sukan Paralimpik Rio 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, hari ini. - Gambar fail
Atlet Paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi menamatkan saingan lompat jauh kategori T36 (cerebral palsy) di tempat keempat pada Sukan Paralimpik Rio 2016 di Rio de Janeiro, Brazil, hari ini.
Pada saingan di Stadium Olimpik Rio, catatan terbaik Mohamad Ridzuan dalam acara itu ialah 5.36m yang dilakukan pada percubaan keempat.
Bagaimanapun, catatan itu tidak dapat mengatasi rekod Sukan Para Asia miliknya iaitu 5.42m yang direkodkan di temasya Sukan Para Asia di Incheon, Korea Selatan pada 2014.
Pingat emas acara itu dimenangi Brayden Davidson dari Australia dengan jarak 5.62m dan pingat perak dimenangi atlet tuan rumah, Rodrigo Parreira da Silva dengan jarak lompatan yang sama.
Kedua-dua mereka mencipta rekod baharu Sukan Paralimpik selepas mengatasi rekod 5.23m milik Roman Pavlyk darui Ukraine pada edisi 2012 di London.
Sementara itu, Pavlyk terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa pada edisi kali ini dengan jarak 5.61m.
Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi sebelum ini mencipta sejarah sebagai atlet negara pertama yang berjaya meraih pingat emas di temasya Paralimpik.
Dalam acara acara 100m T36 yang berlangsung di Rio, Brazil Mohamad Ridzuan mencatat masa 12.07 saat mendahului Yang Yifei dari China (12.20s) dan Rodrigo Parreira da Silva dari negara tuan rumah (12.54s).
#cerebral palsy #Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi #Stadium Olimpik Rio #T36
;