Mohamad Ridzuan dilantik Ikon Sukan Felda

Bernama
Oktober 4, 2016 16:04 MYT
Mohamad Ridzuan menjadi atlet pertama negara memenangi pingat emas di pentas Paralimpik dengan melakukan pecutan bersejarah dengan catatan masa 12.07 saat dalam acara 100m T36 (celebral palsy) pada 10 Sept lalu. Gambar YouTube
Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi hari ini dilantik sebagai Ikon Sukan Felda di atas kejayaannya melakar sejarah sebagai pemenang pingat emas pertama negara di temasya sukan itu bulan lepas.
Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata melalui pelantikan itu, Mohamad Ridzuan akan diperkenalkan kepada masyarakat di wilayah-wilayah Felda sebagai inspirasi untuk meningkatkan semangat kesukanan, terutamanya sempena Bulan Sukan Felda bulan ini.
"Kami sangat berbangga bahawa ada kalangan generasi baharu Felda yang boleh mencapai kejayaan untuk negara di peringkat antarabangsa. Beliau merupakan cucu kepada peneroka Felda (Aminah Hassan) di Kg. Sertik, Wilayah Mempaga dan anak pemandu kenderaan (Mohd Puzi Mat Isa) di Wilayah Alor Setar.
"Buat masa ini kami menyampaikan sumbangan bernilai RM50,000 dahulu. Kami akan bincang dengan pihak Majlis Sukan Negara dan jurulatihnya untuk lihat bagaimana kami boleh membantunya supaya beliau dapat memenangi lebih banyak pingat di samping cipta rekod untuk negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis meraikan kejayaan Mohamad Ridzuan yang dihadiri kira-kira 600 kakitangan Felda di Menara Felda di sini, hari ini.
Mohamad Ridzuan menjadi atlet pertama negara memenangi pingat emas di pentas Paralimpik dengan melakukan pecutan bersejarah dengan catatan masa 12.07 saat dalam acara 100m T36 (celebral palsy) pada 10 Sept lalu.
Atlet kelahiran Perlis berusia 29 tahun itu yang gembira dengan pelantikan sebagai Ikon Sukan Felda, berkata akan meningkatkan usahanya untuk mencapai lebih banyak kejayaan buat negara pada masa akan datang.
Sementara itu, ketua jurulatih olahraga paralimpik negara, R. Jaganathan berkata pihaknya masih dalam perancangan mengenai latihan di luar negara bagi Mohamad Ridzuan dan juga atlet-atlet paralimpik yang lain.
"Kami masih fokus latihan dalam negara. Latihan luar negara hanya sebagai sampingan sahaja untuk membiasakan diri dengan cuaca, medan percubaan yang ada pertandingan dan juga saingan daripada peserta lain bagi mereka untuk terus meningkatkan prestasi," katanya.
Menurut Jaganathan, dalam misi mempertahankan pingat emas Kejohanan Olahraga Dunia IPC yang akan berlangsung di London pada Julai dan Sukan Para Asean di sini pada September tahun depan, Mohamad Ridzuan akan mengharungi beberapa kejohanan di luar negara bermula awal tahun depan.
Antaranya ialah Kejohanan Para Asia Barat yang pertama di Emiriah Arab Bersatu (UAE) bermula 18-24 Feb, diikuti Grand Prix IPC di Itali dan China pada April serta Jerman pada Jun hadapan.
"Tahun 2017 agak penting untuk kekalkan posisi dia sebagai juara dunia, yang membuktikan bahawa rakyat Malaysia boleh menjadi juara dunia. Sasarannya adalah untuk memperbaiki catatan peribadinya dari 12.01s ke 11.9 atau 11.8 saat," jelasnya. -- BERNAMA
#Bulan Sukan Felda #Ikon Sukan Felda #Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi #Sukan Paralimpik Rio #Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad
;