Mohamad Norza hampir pasti jadi Presiden BAM yang baharu

Bernama
April 20, 2017 21:44 MYT
Datin Seri Rosmah Mansor menyaksikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (kanan) pada sidang media di Seri Perdana hari ini, 20 April, 2017. -- fotoBERNAMA
Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria hampir pasti dilantik sebagai presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baharu selepas ahli Majlis BAM sebulat suara menyokong supaya beliau tidak dicabar pada mesyuarat agung tahunan badan induk itu 29 April ini.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata ahli Majlis BAM yang mengadakan perjumpaan tertutup dengan Penaung BAM Datin Seri Rosmah Mansor hari ini bersetuju supaya Pemangku Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid memberi laluan kepada Mohamad Norza, yang juga timbalan presiden BAM, untuk menduduki jawatan tertinggi badan induk itu.
Katanya beliau turut berterima kasih kepada Rosmah yang memberi nasihat terbaik dalam menyelesaikan soal pemilihan jawatan tertinggi persatuan itu.
"Ini adalah contoh kepada persatuan sukan (kebangsaan) yang lain, di mana soal pemilihan itu dapat diselesaikan dalam semangat kekeluargaan dan dengan mengambil kira pandangan dan sumbangan daripada semua pihak," katanya pada sidang media selepas menghadiri pertemuan tertutup berkenaan di Seri Perdana, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Khairy percaya kata sepakat yang dicapai dalam soal pemilihan presiden BAM secara tidak langsung dapat membantu skuad badminton negara kembali berada pada prestasi terbaik selain percaya Mohamad Norza mampu membawa BAM ke satu tahap baharu.
Dalam pada itu, Khairy berharap agar ahli gabungan BAM akan menyokong sepenuhnya usul supaya Mohamed Al-Amin dilantik sebagai penasihat BAM pada mesyuarat agung tahunan badan induk itu nanti.
Beliau berkata usul berkenaan dipersetujui oleh Mohamad Norza dan Mohamed Al-Amin yang turut disokong oleh Rosmah.
Sementara itu, Rosmah berharap keputusan sebulat suara yang dicapai hari ini akan membantu badminton negara meraih keputusan cemerlang pada masa akan datang
"Saya harap prestasi (skuad) badminton (negara) akan terus meningkat dan konsisten seperti yang dimaklumkan Yang Berhormat Menteri dan daripada sekarang, presiden (baharu) BAM bertanggungjawab terhadap prestasi pemain," katanya.
Perebutan jawatan presiden itu menjadi hangat selepas wujudnya 'gentlemen's agreement' yang lebih memihak kepada Mohamad Norza berbanding Mohamed Al-Amin.
Bagaimanapun, Mohamed Al Amin turut berminat dengan jawatan itu dan menafikan terbabit dalam perjanjian itu, sekali gus mencetuskan konflik dalam badan induk berkenaan.
Secara tradisinya, tiada pertandingan membabitkan jawatan presiden dalam BAM sejak 32 tahun lalu. -- BERNAMA
#ahli Majlis BAM #badminton #BAM #Khairy Jamaluddin #Mohamad Norza Zakaria #Mohamed Al-Amin Abdul Majid #perjumpaan tertutup #Rosmah Mansor
;