Mohamad Hasan yakin kemampuan TMJ terajui FAM

Bernama
Mac 24, 2017 15:28 MYT
MOHAMAD: PBNS akan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan baginda.
Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) yakin dengan kemampuan Tunku Ismail Sultan Ibrahim membantu melonjakkan prestasi skuad kebangsaan sebagai presiden baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini berdasarkan rekod Tuanku Mahkota Johor (TMJ) itu mentransformasikan pasukan Johor Darul Ta'zim sebagai sebuah pasukan yang disegani dalam kempen Liga Malaysia.
"Ini juga akan boleh dibawa ke dalam pasukan kebangsaan dan ia akan dapat membakar semangat pemain dan PBNS akan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan baginda," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra anggota majlis Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS), di sini hari ini.
Mohamed, yang juga Menteri Besar, turut mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada TMJ atas kemenangan tanpa bertanding jawatan nombor satu dalam badan induk bola sepak negara.
TMJ menang jawatan presiden FAM susulan penarikan diri Tan Sri Annuar Musa semalam dan status TMJ akan disahkan pada Kongres ke-53 FAM di Petaling Jaya, esok.
Sementara itu, Mohamad meminta PHNS menyediakan kertas dasar untuk membangunkan semula sukan hoki di negeri ini.
Katanya, pernah satu ketika dahulu Negeri Sembilan merupakan kuasa besar dalam sukan hoki dan olahraga namun penguasaan itu tidak dapat dipertahankan.
"Hoki sebagai salah satu sukan yang boleh menjadikan kebanggaan negeri ini. Kita ada banyak bakat tetapi kita tidak dapat menonjol dengan cemerlang. Antara sebabnya kerana kekurangan kemudahan, penghijrahan pemain dan lain-lain.
"Oleh itu, menerusi kertas dasar ini kita berharap dapat merancang program tersusun termasuk mengenal pasti sekolah di negeri ini untuk dijadikan sekolah sukan hoki bagi melahirkan bakat hoki masa depan," katanya.
Pada majlis itu, PHNS menerima cek berjumlah RM250,000 sumbangan Menteri Besar Incorporated (MBI).
-- BERNAMA
#bola sepak #FAM #Mohamad Hasan #Negeri Sembilan #PBNS #TMJ #Tunku Ismail Sultan Ibrahim
;