Mohamad Aniq fokus kumpul mata layak ke Olimpik Paris 2024

Bernama
Ogos 7, 2022 16:19 MYT
Atlet kelahiran Segamat, Johor itu optimis mampu menggapai impiannya untuk beraksi di pentas berprestij itu buat julung kalinya. - Gambar fail
SEPANG: Kejayaan meraih emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 menjadi pembakar semangat buat badang negara Mohamad Aniq Kasdan untuk terus mempersembahkan aksi terbaik bagi mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Atlet kelahiran Segamat, Johor itu optimis mampu menggapai impiannya untuk beraksi di pentas berprestij itu buat julung kalinya dengan berkat kesungguhan berlatih bersama jurulatih Yon Haryono selain prestasi semasa yang ditonjolkan beliau.
"Selepas ini memang (saya) akan fokus menyertai lima atau enam kejohanan antarabangsa untuk mengumpul mata ke Sukan Olimpik dan saya yakin sekiranya mampu memantapkan disiplin diri, sudah pasti mampu ke sana (Sukan Olimpik) nanti," katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.
Pemenang pingat gangsa di Sukan SEA Hanoi Mei lepas itu turut memaklumkan Kejohanan Dunia di Colombia pada Disember ini akan menjadi medan pertamanya mencipta magis bagi merekodkan mata pertamanya.
-- BERNAMA
#mohamad aniq kasdan #olimpik paris #angkat berat #kelayakan Olimpik
;