Mobile Legends: Tindakan peminat Malaysia 'serang' Aerowolf kurang bijak
Mariah Ahmad
Julai 31, 2018 18:54 MYT
Julai 31, 2018 18:54 MYT
Tindakan sebilangan besar peminat Mobile Legend 'menyerang' dan menghentam pasukan Indonesia Aerowolf secara melulu dilihat kurang bijak dan tidak matang.
Ketua Operasi Kandungan FrostFire, Lee Sze Yean berkata tindakan itu hanya dilihat mengikut emosi semata-mata memandangkan Aerowolf bukanlah pihak yang bertanggungjawab dengan isu pemilihan kelayakan separuh akhir Piala Asia Tenggara Mobile Legends (MSC) pada hujung minggu lalu.
"Aerowolf juga memperjuangkan hak mereka seperti mana yang dilakukan AirAsia Saiyan.
"Tiada apa yang salah namun ramai peminat dilihat bertindak mengikut emosi berbanding memilih untuk berfikir secara rasional.
"Kenapa mahu menghentam mereka yang tiada kena mengena dengan masalah? Penganjur RevivaLTV yang sepatutnya mengawal situasi ini dengan baik," jelas Sze Yean kepada Astro AWANI hari ini.
Semalam, penganjur MSC, RevivaLTV memohon maaf dan memilih untuk bertanggungjawab sepenuhnya dengan beberapa insiden yang tidak diingini sepanjang penganjuran kejohanan itu.
Menurut RevivaLTV, mereka cuba mencari penyelesaian yang terbaik bagi isu perlawanan pemilihan pasukan ke separuh akhir MSC antara AirAsia Saiyan dan Aerowolf.
Lantaran itu, Sze Yean menyifatkan RevivaLTV sepatutnya mewujudkan pasukan pengurusan krisis perhubungan awam untuk mengurus situasi berkenaan dengan baik bagi mengelak sebarang salah faham yang akan timbul.
"RevivaLTV juga tidak menjelaskan isu perlawanan semula pada hari pertama MSC dengan baik, sehingga menyebabkan ramai pihak salah faham.
"Bagaimanapun, tindakan peminat Malaysia yang tidak melihat konteks masalah secara menyeluruh dan memilih untuk menghentam rakyat Indonesia adalah satu tindakan yang tidak telus," tambah Sze Yaan.
Sementara itu, Astro AWANI kini menunggu maklum balas rasmi daripada pihak Aerowolf berhubung insiden berkenaan yang membabitkan pasukan itu.
Menurut sumber Aerowolf, mereka masih berbincang isu berkenaan secara tertutup dan akan mengeluarkan kenyataan apabila bersedia nanti.
"Terkesan atau tidak adalah bergantung bagaimana kami melihat situasi itu. Pada masa sekarang, kami memahami bagaimana inisiden itu memberi impak kepada kedua-dua pasukan."
Isu pemilihan kelayakan separuh akhir MSC menjadi kontroversi apabila AirAsia Saiyan dan Aerowolf mendapat kontrak kejohanan yang berbeza berikutan kesilapan penganjur.
Berikutan insiden itu, AirAsia Saiyan bertindak untuk menarik diri sebagai langkah protes dan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap RevivaLTV.