Mo-hon bertenang, Salah kasi menang
Astro Awani
Disember 11, 2018 06:08 MYT
Disember 11, 2018 06:08 MYT
LIVERPOOL berjaya melengkapkan misi untuk mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas menewaskan Napoli 1-0 di Anfield, awal pagi ini.
Gol kemenangan dijaringkan ayam tambatan skuad the Reds itu, Mohamed Salah pada minit ke-34.
Liverpool yang memerlukan kemenangan dan mengharapkan Paris St Germain (PSG) menang atau kalah di Belgrade, menguasai permainan 15 minit selepas sepak mula menentang wakil Itali itu.
Tuan rumah mendapat jaringan awal pada minit ke-22 menerusi Sadio Mane namun pengadil membatalkan gol tersebut kerana penyerang Senegal itu berada pada posisi ofsaid.
Pada minit ke-34 hantaran James Milner kepada Salah dimanfaatkan penyerang Mesir itu untuk menewaskan penjaga gol Napoli, David Ospina.
Bersambung di babak kedua, Salah terlepas peluang untuk menggandakan jaringan apabila gagal merembat tepat bola ke dalam gawang Napoli selepas menerima umpanan Roberto Firmino.
Napoli cuba mendapatkan gol penyamaan dengan melancarkan serangan demi serangan pada 20 minit terakhir permainan namun gagal menemui sentuhan penyudah.
Liverpool juga terlepas peluang keemasan untuk berada dalam kedudukan selesa apabila Ospina menyelamatkan cubaan jarak dekat Mane pada minit ke-77.
Dua minit kemudian, cubaan penyerang Napoli Jose Maria Callejon tersasar selepas pertahanan Liverpool gagal mengeluarkan bola hasil hantaran silang Lorenzo Insigne.
Penjaga gol Liverpool, Alisson Becker memastikan pasukannya terus mendahului apabila tangkas menyelamatkan cubaan jarak dekat Arkadiusz Milik pada masa kecederaan.
Liverpool mara selaku naib juara kumpulan C, dibelakang PSG yang mengumpul 11 mata untuk muncul juara.
The Reds berkongsi sembilan mata dengan Napoli namun mara dengan kelebihan jaringan gol.
Napoli pula terpaksa berpuas hati di tempat ketiga dan meneruskan perjuangan di pentas Eropah dalam saingan Liga Europa.