MMA: Sembuh dari ketumbuhan di kepala, AJ kembali lebih bersemangat

Haider Yutim
Januari 8, 2019 08:30 MYT
Pertarungan antara AJ dan Yohan itu akan menyaksikan dia melangkah ke pentas ONE selepas hampir dua tahun berada di barisan tepi. - Foto ONE Championship
ATLET veteran ONE Championship AJ ‘Pyro’ Lias Mansor mendedahkan tentang pembedahan yang menyelamatkan nyawanya dan memungkinkan kemunculan semula beliau ke gelanggang.
Bintang seni mempertahankan diri campuran (MMA) negara ini akui tidak menyedari pun tentang penyakit yang dihidapinya selama tiga tahun itu, sehinggalah pada September tahun lalu apabila doktor mengesahkan AJ mengalami ketumbuhan di kepalanya.
“Ia adalah prosedur yang sangat berisiko,” kata atlet berusia 43 tahun dari Sabah itu.
“Ketumbuhan itu berada di dalam kepala selama tiga tahun dan doktor memberitahu saya ia boleh membawa maut sekiranya tidak dikeluarkan dengan segera, memandangkan ia adalah sejenis barah.”
Ia adalah satu keputusan yang sukar dan perlu dilakukan oleh bekas juara featherweight Malaysia ONE Championship itu kerana dia perlu mengetepikan hidup dan cintanya kepada MMA demi memastikan pembedahan serta proses pemulihannya berjaya.
“Saya degil dan tidak mempedulikan (ketumbuhan itu) sehingga terlalu lama, namun, saya mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan itu bagi menyelamatkan nyawa saya sendiri,” kata AJ.
“Lima malam saya berada di hospital, itu pun saya dah mula resah.”
Bosan dan hampa kerana hanya mampu berbaring di katil hospital untuk tempoh yang lama, AJ hanya melakukan apa yang boleh dilakukan pada waktu itu dan berlatih melalui kaedah yang diketahuinya. Beliau turut melakukan latihan pernafasan dan regangan badan seperti yang biasa dilakukan ketika latihan bagi melancarkan aliran darah.
Cinta dan minat mendalam terhadap sukan itu membantu beliau mengembalikan kekuatannya. Beberapa hari selepas doktor mengeluarkan ketumbuhan itu, beliau sudah kembali berlatih di gim.
“Sebaik saja saya dibenarkan keluar, saya pergi bertemu dengan keluarga dan seterusnya kembali berlatih. Saya melakukan latihan kardio ringan dan regangan serta meneruskannya dari situ,” jelas beliau.
“Selepas sebulan, saya mula melakukan latihan pukulan, Brazilian Jiu-Jitsu dan seni mempertahankan diri campuran. Saya sendiri terkejut kerana dalam kondisi itu, keadaan saya masih baik.
“Sewaktu berada di gim, saya sering terkenang dan mengingat kembali dan bersyukur kerana diberi kesempatan untuk meneruskan perjalanan ini walaupun sedang bertarung untuk nyawa saya sendiri.”
Selepas berjaya mengharungi pertarungan yang paling sukar dalam hidupnya, AJ merasakan dia telah diberikan satu lagi peluang dalam hidup – peluang yang tidak akan dipersia-siakannya.
AJ kemudiannya terus menghantar mesej kepada pegawai ONE Championship memberitahu bahawa beliau sudah sihat sepenuhnya dan ingin bertarung.
“Matlamat saya ialah untuk sentiasa berjuang. Seni mempertahankan diri adalah hidup saya,” katanya.
“Selepas saya berjaya menjalani pembedahan dengan selamat, ia memberikan saya lebih motivasi, sekali gus memberikan saya kepercayaan bahawa saya boleh berlawan tahun hadapan. Saya sudah pun merasa lebih kuat. Saya beritahu mereka, “Saya sudah bersedia”.
AJ bakal menentang Yohan Mulia Legowo pada 19 Januari ini di ONE: Eternal Glory Pertarungan di Jakarta, Indonesia, bertempat di Istora Senayan.
Pertarungan antara AJ dan Yohan itu akan menyaksikan dia melangkah ke pentas ONE selepas hampir dua tahun berada di barisan tepi.
“Terima kasih kepada ONE Championship kerana memberikan saya peluang ini.
“Saya percaya saya sudah bersedia dan ini adalah satu penghormatan untuk menjadi sebahagian daripada pertunjukan pertama pada 2019. Saya sangat teruja...sememangnya ia adalah perjalanan yang sukar,” katanya.
#AJ Lias Mansor #AJ Pyro #barah #ketumbuhan #Malaysia #MMA #ONE Championship #Sabah #seni mempertahankan diri
;