MMA: 'Saya sedia lawan sesiapa sahaja' - Agilan

Haider Yutim
Julai 8, 2018 20:42 MYT
Atlet-atlet MMA negara pada sesi 'Open Workout' atlet MMA ONE Championship di pusat beli belah Lot 10, hari ini. - Foto ONE Championship
Kehangatan pertarungan seni beladiri campuran (MMA) bakal dirasai sekali lagi di ibu negara menerusi kejohanan ONE Championship 'Pursuit of Power'.
Seramai tiga jaguh MMA negara akan beraksi dalam kejohanan yang dijadualkan berlangsung pada 13 Julai di Stadium Axiata, Bukit Jalil itu.
Antara pertarungan yang menjadi tumpuan ialah pertarungan kategori 'welterweight' antara Agilan Thani dengan peninju dari Sweden, Zebaztian Kadestam.
Kedua-dua peninju itu akan bertarung dalam acara utama kejohanan tersebut.
Agilan, 22 tahun, ketika ditemui berkata dia kini bersedia menghadapi sesiapa sahaja yang mahu menentangnya.
"Saya percaya saya dalam kedudukan yang baik dalam karier, dan saya sedia berdepan dan menewaskan sesiapa sahaja yang mahu berlawan dengan saya," katanya kepada pemberita pada sesi 'Open Workout' atlet MMA ONE Championship di pusat beli belah Lot 10, hari ini.
Seorang lagi petarung pilihan negara, Keanu Subba, turut disenaraikan dalam kejohanan tersebut.
Petarung 'featherweight' berusia 24 tahun itu akan bertemu petarung dari China, Xie Chao.
"Saya amat berbesar hati untuk kembali dan bersaing dalam kejohanan ini. Saya sentiasa gembira untuk mewakili Malaysia di peringkat global dan saya tidak sabar untuk menunjukkan skil terbaharu saya," katanya.
Sementara itu, atlet MMA wanita termuda Malaysia, Jihin Radzuan yang baharu sahaja berumur 18 tahun akan membuat persembahan keduanya di pentas ONE Championship.
Bekas juara Malaysian Invasion (MIMMA) musim keempat itu akan berdepan Priscilla Hertati Lumban Gaol dari Indonesia.
Pada pertarungan lepas, Jihin yang juga merupakan antara peninju 'favourite' negara, telah menewaskan petarung dari India, Puja Tomar.
#Agilan Thani #Jihin Radzuan #Keanu Subba #Mixed Martial Arts #MMA #ONE Championship #Pursuit of Power #seni beladiri campuran #seni mempertahankan diri
;