MMA: Sage Northcutt tidak serik selepas di-KO teruk Cosmo Alexandre
Hilmi Ismail
Mei 20, 2019 18:50 MYT
Mei 20, 2019 18:50 MYT
PERLAWANAN pertama Sage Northcutt pada acara 'ONE: Enter The Dragon' di Singapura, Jumaat lalu tidak mendapat keputusan yang diharapkannya.
Petarung seni bela diri campuran (MMA) dari Amerika Syarikat itu ditundukkan oleh Cosmo Alexandre yang hanya memerlukan 29 saat untuk meraih kemenangan menerusi 'knockout'.
Akibat tumbukan padu Alexandre, Northcutt terpaksa dikejarkan ke hospital di Singapura sebaik habis perlawanan.
Memuat naik posting di akuan Instagramnya pada Ahad, bekas petarung UFC itu memaklumkan keadaan terkininya kepada umum.
Northcutt mengesahkan dia mengalami keretakan tulang pada lapan bahagian serta terpaksa menjalani pembedahan yang berlangsung selama 9 jam.
Meskipun mengalami kecederaan teruk, Northcutt sempat mengucapkan terima kasih pada ONE Championship, keluarga, rakan dan peminatnya yang sentiasa memberikan penjagaan dan sokongan yang luar biasa kepada dirinya.
Northcutt turut memetik ayat popular dari filem The Terminator, "I'll be back" (saya akan kembali), memberikan gambaran dia akan kembali di arena MMA bersama ONE Championship.
Sebagai rekod, ini adalah kekalahan pertama Northcutt dalam masa hampir tiga tahun, menjadikan rekod terkini 11-3.
Kekalahan terakhirnya adalah ditangan Mickey Gall pada December 2016 pada acara UFC on Fox 22.
#Cosmo Alexandre
#Mickey Gall
#Mixed Martial Arts
#MMA
#ONE Championship
#ONE ENTER THE DRAGON
#Sage Northcutt
#seni bela diri campuran
#Singapura
#UFC