MMA: 'Mighty Mouse' tidak sabar hendak beraksi di ONE Championship
Astro Awani
Januari 8, 2019 18:01 MYT
Januari 8, 2019 18:01 MYT
ATLET seni mempertahankan diri campuran (MMA) Demetrious Johnson atau nama gelarannya ‘Mighty Mouse’ nampaknya sudah tidak sabar untuk berkongsi pentas bersama rakan atlet flyweight ONE Championship.
Wakil AMC Pankration itu berkata, flyweight merupakan kategori yang sangat sengit dan mengakui bahawa kesemua petarung mempunyai peluang yang sama untuk menang.
Petinju berusia 32 tahun itu turut memberitahu, kesemua petarung dalam divisyen itu pernah berentap satu sama lain dan masing-masing mempunyai rekod menang dan kalah.
“Sebenarnya pada hari-hari tertentu, kesemua mereka berpeluang untuk menang dan itu merupakan salah satu perkara yang saya suka mengenai ONE Championship.
Johnson yang akan membuat kemunculan sulungnya pada ONE: A NEW ERA di Tokyo, Jepun, pada Ahad, 31 Mac depan, berkata dia turut menyukai cara pemikiran para atlet flyweight ONE yang dijadualkan bertanding pada acara itu.
Petinju dari Amerika Syarikat itu berkata salah satu ciri yang membezakan antara atlet ONE Championship dengan pemain dari organisasi lain adalah rasa hormat terhadap satu sama lain.
Jelas Johnson lagi, rasa hormat terhadap petarung lain adalah perkara yang turut dikongsi oleh jaguh-jaguh dari Amerika Syarikat.
“Para atlet di sini tidak takut untuk mempertaruhkan segala-galanya, kerana peminat serta organisasi ini tidak mementingkan semua itu. Kekalahan bukan bermakna itu adalah penghujung kepada karier anda.
“Mereka di sini menghormati dan menghargai bahawa anda telah datang untuk bertanding.
Johnson yang merupakan bekas Juara Dunia UFC Flyweight, turut dianggap sebagai atlet terbaik dalam sukan seni mempertahankan diri dan akan membuat kemunculan sulungya pada perlawanan itu menentang petinju dari Jepun, iaitu Yuya ‘Little Piranha’ Wakamatsu.
Acara itu merupakan pertarungan tanpa gelaran yang pertama untuk Johnson dalam tempoh enam tahun, di mana ia juga merupakan saingan suku akhir untuk ONE Flyweight Grand Prix Dunia.
“Saya sangat teruja untuk pertarungan ini. Ia pasti menjadi saat yang sangat menyeronokkan.
“Tidak sabar rasanya. Saya harap saya mampu kekal sihat, kerana itu merupakan perkara paling sukar untuk dilakukan akibat terlalu kerap bertanding, namun, saya akan terus berlawan selagi tubuh ini mengizinkannya,” katanya lagi.
Johnson yang menyertai ONE Championship pada penghujung Oktober lalu adalah sebahagian daripada perjanjian pertukaran pertama dalam sejarah sukan itu.
Perjanjian itu menyaksikan ketibaan Johnson dari UFC, manakala bekas Juara Dunia ONE Welterwieght, Ben Askren dihantar ke organisasi berkenaan.
Pada November lalu, atlet flyweight itu mengadakan lawatan ke Singapura untuk menghadiri Sidang Kemuncak Global Seni Mempertahankan Diri; Anugerah Global Seni Mempertahankan Diri 2018 dan ONE: HEART OF THE LION.
Dengan hanya menonton perlawanan secara langsung dari tepi gelanggang sudah cukup untuk membuatkan beliau teruja tentang masa depannya dengan organisasi itu.
“Pasukan ini sangat hebat dan mereka mempunyai tenaga yang begitu banyak.
“Cara mereka menghasilkan persembahan adalah sangat “cool”,” katanya.
Katanya, “saya sangat suka acara pembukaan yang retro dengan persembahan bunga api. Selain itu, Nora Chompunich adalah juruhebah yang bagus malah, para peminat juga sangat hebat!”
Dalam masa beberapa bulan saja, peminat-peminat yang sama akan turut bersorak untuknya sebaik saja beliau memulakan usaha meraih Kejuaraan Dunia ONE Flyweight.
#Demetrious Johnson
#flyweight
#Jepun
#Mighty Mouse
#MMA
#ONE Championship
#seni mempertahankan diri
#Tokyo
#UFC