MMA: McGregor dedahkan punca tewas dengan Khabib

Haider Yutim
Oktober 24, 2018 22:29 MYT
McGregor berkata tiada sebarang masalah baginya jika pertarungan 'rematch' dia dengan Khabib tidak diadakan dalam masa terdekat. - Foto REUTERS
BINTANG seni bela diri campuran (MMA) Ireland, Conor McGregor akhirnya merungkai tentang kesilapan yang dibuatnya sehingga tewas di tangan Khabib Nurmagomedov pada aksi UFC 229, 7 Oktober lalu.
Dalam satu posting yang panjang lebar di Instagram miliknya kelmarin, McGregor mengakui telah tersilap teknik, menyebabkan dia dikalahkan oleh jaguh Rusia itu pada pusingan keempat.
Bagaimanapun, dia akur dengan keputusan tersebut dan menyifatkan kekalahan itu sebagai "adil dan saksama".
"Saya membuat kesilapan kritikal dengan mengabaikan 'overhook' saya pada saat yang penting, mendedahkan bahagian belakang saya, yang akhirnya saya ditewaskan secara adil.
"Apa yang boleh saya katakan? Ia pertarungan yang hebat dan saya menyukainya. Saya akan kembali dengan keyakinan yang tinggi. Bersiap sedialah," katanya.
Mengulas tentang pertarungan semula (rematch) dengan Khabib, McGregor berkata tiada sebarang masalah baginya jika pertarungan itu tidak diadakan dalam masa terdekat.
"Saya akan hadapi sesiapa sahaja (petarung) yang seterusnya. Kepada para peminat saya, jumpa lagi.. saya sayang anda semua," katanya lagi.
Pertarungan yang berlangsung di T-Mobile Arena, Las Vegas, Amerika Syarikat itu menyaksikan McGregor ditewaskan menerusi 'submission' (kuncian) 'pada minit 3.03 pusingan keempat.
BACA: MMA: Khabib tundukkan McGregor, 'mengamuk' di UFC 229
McGregor yang kembali ke Octagon selepas hampir dua tahun tidak beraksi, gagal merampas takhta kejuaraan lightweight dunia UFC dari Khabib.
Keputusan itu juga melebarkan rekod kemenangan Khabib kepada 27-0.
#Conor McGregor #Ireland #Khabib Nurmagomedov #Las Vegas #MMA #Octagon #Rusia #UFC #UFC 229
;