MMA: 'Lawan saya kali ini kuat, tapi saya takkan berundur' - Agilan
Haider Yutim
November 27, 2018 19:25 MYT
November 27, 2018 19:25 MYT
Jaguh sukan seni beladiri campuran (MMA) muda negara, Agilan Thani mengakui dia sentiasa bersedia dan tidak akan berundur dari sebarang cabaran yang dihadapinya.
Anak kelahiran Kuala Lumpur berusia 23 tahun itu bakal menerajui barisan atlet Malaysia yang lain seperti Gianni Subba, Jihin Radzuan dan Mohammed Mahmoud pada aksi ONE Championship di ibu negara, 7 Disember ini.
Agilan yang pernah mencabar jaguh Amerika Syarikat Ben Askren untuk gelaran juara dunia welterweight ONE, akan berdepan petarung dari Kyrgyzstan, Kiamrian Abbasov Singh Meena.
"Saya rasa lawan saya kali ini agak kuat. Tetapi saya tidak sabar untuk menentangnya. Saya telah membuat persediaan seperti biasa.
"Jadi, harapakanlah aksi yang 'meletop' dari saya. Saya sentiasa datang untuk bertarung dan saya tidak pernah berundur dari apa jua cabaran," katanya.
Agilan merupakan salah seorang atlet MMA yang paling 'luar biasa' yang pernah dihasilkan oleh negara.
Bekas juara Malaysian Invasion musim ke-2 (MIMMA 2) itu memenangi enam pertarungan berturut-turut di peringkat antarabangsa sebelum tewas kepada Askren pada Mei tahun lalu, dan kemudian bangkit semula untuk memenangi dua lagi pertarungan.
Agilan melalui sesi latihannya di Monarchy MMA di bawah bimbingan jurulatih dari Belgium, Samir Mrabet.
Selain itu, dia juga sering berulang-alik ke Amerika untuk mengasah skilnya di gim terkemuka dunia, Team Quest.
#Agilan Thani
#Gianni Subba
#Jihin Radzuan
#Kiamrian Abbasov Singh Meena
#Kyrgyzstan
#Malaysia
#MMA
#Mohammed Mahmoud
#ONE Championship
#seni beladiri campuran