MMA: Kejuaraan Khabib tidak akan dilucutkan - Dana White
Agensi
Oktober 10, 2018 11:32 MYT
Oktober 10, 2018 11:32 MYT
KEJUARAAN lightweight dunia UFC yang dipegang Khabib Nurmagomedov tidak akan dilucutkan meskipun dia telah mencetuskan kekecohan selepas pertarungannya Conor McGregor, Sabtu lalu.
Perkara ini disahkan Presiden UFC Dana White dalam kenyataan menerusi sebuah video di laman web UFC pada Selasa.
Beliau memberitahu TMZ, jaguh seni beladiri campuran (MMA) Rusia itu tidak akan dilucutkan gelarannya dan sebarang tindakan yang dikenakan adalah dari Suruhanjaya Atletik Nevada (NAC), bukannya UFC.
“Dia tentu sekali mengekalkan kejuaraannya. Dan dia akan digantung (oleh NAC), jadi tempohnya mungkin empat hingga enam bulan,” katanya.
Menurut White, NAC juga belum menyerahkan wang kemenangan Khabib kerana menunggu proses siasatan susulan insiden pergaduhan tersebut dan mungkin dia akan didenda.
“(NAC) telah ambil semua wang kemenangannya dan mereka kata akan menyimpan wang itu. Saya rasa itu tak sepatutnya berlaku. Kamu tak sepatutnya pegang semua wang kemenangannya,” katanya.
Kata White, beliau merasakan NAC sepatutnya hanya mengambil AS$250,000 sebagai denda.
Namun begitu, beliau berpandangan Khabib tidak sepatutnya melompat ke kawasan penonton dan menyerang kem McGregor.
“Saya tidak fikir ramai yang tidak faham kenapa dia berbuat demikian. Tetapi dia tidak sepatutnya berbuat demikian. Dia adalah juara dunia.
“Dia baru sahaja menewaskan Conor di depan seluruh dunia. Bangun, ambil tali pinggang yang dililit di keliling pinggang anda. Anda juara. Mereka yang menjerit kepada anda itu tidak bererti apa-apa,” kata White.
Tambah White, dia juga tidak pasti tentang masa depan Khabib.
Bagaimanapun McGregor telah menyatakan hasrat untuk mengadakan perlawanan semula, tetapi NAC perlu menetapkan terlebih dahulu bila tempoh Khabib boleh kembali ke gelanggang.
#Conor McGregor
#Dana White
#juara dunia
#Khabib Nurmagomedov
#MMA
#NAC
#Suruhanjaya Atletik Nevada
#UFC
#Ultimate Fighting Championship