MMA: Gianni, Agilan mahu catat kemenangan untuk Malaysia malam ini
Haider Yutim
Mac 9, 2018 13:18 MYT
Mac 9, 2018 13:18 MYT
Malaysia akan mempertaruhkan empat jaguh seni mempertahankan diri campuran (MMA) untuk bertarung di kejohanan ONE Championship di ibu negara, malam ini.
Antara petarung yang bakal menjadi tumpuan malam ini ialah Gianni Subba dan Agilan 'The Alligator' Thani.
Gianni, 25 tahun, yang bertarung dalam acara utama di kejohanan itu, akan bertemu atlet dari Australia, Reece McLaren dalam kategori 'flyweight'.
Pada awalnya dia dijadualkan bertemu Danny Kingad dari Filipina, namun ditukarkan untuk berdepan Mclaren selepas Kingad menarik diri.
"Saya tidak teragak-agak untuk menerima pertarungan ini, dan bertarung di Kuala Lumpur, di tempat sendiri dalam acara utama memang matlamat saya sejak menyertai ONE Championship. Saya mengalu-alukan cabaran ini," katanya.
Bagi Agilan pula, dia gembira diberi peluang bertarung dalam acara kedua utama 'ONE: Visions of Victory' ini dan berdepan dengan petarung dari India, Amitesh Chaubey.
"Saya hanya mempunyai satu kemenangan (sejak kalah dengan Ben Askren) dan saya rasa perjalanan saya masih jauh," kata atlet berusia 22 tahun itu.
"Matlamat saya ialah menjadi juara dunia dan (selepas itu) pertahankan gelaran saya secara konsisten," katanya lagi.
Selain itu, dua lagi atlet negara, 'Jungle Cat' Muhammad Aiman, 23 tahun, bakal bertemu pesaingnya Rin Saroth dari Cambodia.
Manakala, Jihin 'Shadowcat' Radzuan, 19 tahun pula akan berdepan petarung dari India, Pooja Tomar untuk kategori 'atomweight' wanita.
Kejohanan ONE Championship 'Visions of Victory' ini akan berlangsung di Stadium Axiata, Bukit Jalil.
#Agilan Thani
#Bukit Jalil
#Gianni Subba
#Jihin Radzuan
#MMA
#Muhammad Aiman
#ONE Championship
#seni beladiri campuran
#seni mempertahankan diri
#Stadium Axiata
#Visions Of Victory