MMA: Ev Ting tewaskan Daichi Abe, lakar kemenangan untuk Malaysia

Haider Yutim, Hilmi Ismail
Julai 12, 2019 00:07 MYT
Keputusan tersebut mengeluarkan Ting dari dua kekalahannya yang berturut-turut pada perlawanan lalu dan menambahkan rekod kemenangannya kepada 17 - 6. - Foto ONE
Petarung MMA negara Ev Ting mempamerkan aksi cemerlang pada acara ONE: Masters Of Destiny malam ini selepas menumpaskan atlet Jepun, Daichi Abe.
Ting, 29 tahun, menewaskan bekas petarung UFC itu menerusi 'submission' (kuncian) pada minit 4.44 pusingan kedua.
Pusingan pertama menyaksikan Ting memulakan permainan dengan garang apabila tumbukannya tepat hinggap ke kepala Abe.
Bagaimanapun, Abe bijak membaca gerakan Ting dan terus memberikan tumbukan balas.
Ternyata, taktik Abe berjaya dan serangannya tepat mengena kepala Ting.
BACA: MMA: Jihin gegarkan KL dengan kemenangan 'triangle choke'
Akibat serangan itu, Ting kelihatan begitu terkesan dari pertengahan pusingan pertama sehingga dia terjatuh beberapa kali.
Keadaan pada pusingan kedua nampak lebih memihak kepada Ting apabila dia berjaya mengunci Abe menerusi kuncian 'rear naked choke', sekali gus memaksa lawannya itu menyerah kalah.
Keputusan tersebut mengeluarkan Ting dari dua kekalahannya yang berturut-turut pada perlawanan lalu dan menambahkan rekod kemenangannya kepada 17 - 6.
Malam acara ONE: Masters of Destiny yang berlangsung Axiata Arena menyaksikan empat petarung yang membawa nama Malaysia di arena antarabangsa.
#Axiata Arena #bekas petarung UFC #Daichi Abe #Ev Ting #MMA #ONE Championship #ONE MASTERS OF DESTINY #seni bela diri campuran
;