MMA: DJ, Alvarez bakal beraksi dalam kejohanan ONE di Tokyo

Astro Awani
Disember 21, 2018 18:00 MYT
Juara Dunia beberapa kali Demetrious Johnson (kanan) dan Eddie Alvarez dijangka membuat kemunculan pertama dalam gelanggang ONE Championship. - Foto AP
ONE Championship pada Khamis telah mengumumkan jadual pertarungan awal bagi acara pertamanya di Tokyo, ONE: A New Era, yang bakal berlangsung di Arena Ryogoku Kokugikan, pada 31 Mac 2019.
Berdasarkan senarai perlawanan yang diumumkan setakat ini, acara itu dijangka menjadi pertempuran terbesar bagi ONE Championship.
Pertarungan pertama membabitkan penyandang Juara Dunia ONE Strawweight wanita dari China, Jing Nan Xiong, yang akan menentang Juara Dunia ONE Atomweight wanita, Angela Lee dari Singapura, bagi mempertahankan gelarannya.
Lee sudah lama merancang untuk bertanding pada kategori strawweight sekali gus mencabar penyandang gelaran tersebut.
Bagaimanapun, kecederaan yang dialaminya memaksa beliau keluar daripada pertarungan di ONE: Heart Of The Lion, November lepas.
Namun, menerusi pengumuman perlawanan pertama ONE di Jepun, impiannya bakal menjadi kenyataan dan sekiranya menang, beliau bakal menjadi juara wanita pertama memenangi dua divisyen wanita dalam sejarah ONE.
Seterusnya, Juara Dunia ONE Middleweight, Aung La N Sang dari Myanmar akan mempertahankan gelarannya menentang Ken Hasegawa dari Jepun, manakala Juara Dunia ONE Lightweight, Eduard Folayang bakal berdepan Shinya Aoki dari Jepun untuk mengekalkan gelarannya.
Pertembungan Aung La menentang Hasegawa adalah olahan semula lima pusingan perlawanan yang penuh epik di ONE: Spirit Of A Warrior pada Jun lalu.
Manakala, pertemuan antara Folayang dan Aoki adalah perlawanan semula aksi 2016, di mana Folayang meraih tiga pusingan kemenangan TKO terhadap lagenda dari Jepun itu.
Perlawanan semula itu dijangka lebih gah berbanding sebelumnya, kerana ia bakal diadakan di hadapan penyokong tuan rumah.
Selain daripada tiga perlawanan yang diwar-warkan, Juara Dunia beberapa kali Demetrious Johnson dan Eddie Alvarez dijangka membuat kemunculan pertama dalam gelanggang ONE Championship.
Alvarez menyertai ONE Championship pada Oktober lalu, sekali gus mengembalikan kerjaya cemerlangnya ke Asia di mana beliau mula mencipta nama.
Bagaimanapun, bagi Juara Dunia lightweight, Alvarez yang mengimpikan kejuaraan ONE Championship, beliau harus melepasi sekumpulan pencabar terkemuka bagi meraih impiannya. Bagi perlawanan pertamanya, Alvarez bakal berdepan pencabar teratas lightweight, Timofey Nastyukhin dari Rusia.
Manakala, Johnson yang dianggap sebagai artis terbaik seni mempertahankan diri campuran dalam sejarah sukan itu, turut menyertai ONE Championship lewat Oktober lalu bersama-sama Alvarez dan muncul pada minggu berikutnya di Sidang Kemuncak Global Seni Mempertahankan Diri; Anugerah Global Seni Mempertahankan Diri dan ONE: Heart Of The Lion.
Johnson dalam perlawanan ONE Championship pertamanya akan bertemui Yuya Wakamatsu dari Jepun.
Dalam pada itu, Yodsanklai IWE Fairtex, yang baru saja meraih kemenangan knockout di Kuala Lumpur, bakal berentap dengan Andy Souwer.
#Angela Lee #Arena Ryogoku Kokugikan #Aung La N Sang #Demetrious Johnson #Eddie Alvarez #Eduard Folayang #Jing Nan Xiong #Ken Hasegawa #ONE A New Era #ONE Championship #Shinya Aoki #Tokyo
;