MMA: Colleen idam status juara dunia
Astro Arena
Ogos 14, 2019 04:30 MYT
Ogos 14, 2019 04:30 MYT
SELEPAS menepati ramalan meraih pingat emas dalam Kejohanan Terbuka Asia di Bangkok, Thailand, kini fokus atlet seni bela diri campuran negara, Colleen Augustine, terarah kepada menjadi juara dunia.
Kemenangan itu menjadikannya selaku wanita Malaysia pertama memperoleh emas dalam kejohanan seni bela diri campuran bertaraf antarabangsa.
Atlet berusia 21 tahun itu tidak pernah menyangka akan terlibat dengan kejohanan tersebut sehingga mendapat panggilan jurulatihnya dan hanya membuat persiapan selama dua bulan.
Biarpun menghadapi kecederaan retak di bahagian hidung, dia bertekad untuk menjalani latihan bagi mempersiapkan diri ke ke Kejohanan Dunia di Bahrain, November depan.
"Saya mempunyai jurulatih yang sangat bagus dan sudah tentu peluang sentiasa ada. Saya tidak berhenti berlatih, setiap kali selepas bertarung, saya memulihkan diri dan meneruskan latihan.
"Jadi, dia banyak membantu saya dan sentiasa melihat sesuatu yang bagus dalam diri saya. Dia sentiasa meningkatkan teknik saya sepanjang masa," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan MMA Malaysia (MASMMAA), Rashid Salleh, berkata dia berpuas hati dengan prestasi atlet kelahiran Pulau Pinang itu.
Dalam masa sama, dia tetap meneruskan misi mencari pelapis berbakat untuk memastikan sukan tersebut tidak ketandusan wakil pada masa akan datang,
"Apa yang penting adalah kami mahu membawa budak berusia 12 tahun ke atas untuk masuk ke gimnasium MMA di Malaysia dulu sebelum mencapai impian besar membukanya ke peringkat sekolah," katanya.