MMA: 'Budak Sentul' kalahkan petarung Mesir di ONE Championship
Haider Yutim
Ogos 19, 2017 18:55 MYT
Ogos 19, 2017 18:55 MYT
Jaguh seni mempertahankan diri campuran (MMA) negara, Agilan Thani telah menewaskan lawannya dari Mesir, Sherif Mohamed pada kejohanan ONE: Quest For Greatness di Stadium Negara, malam tadi.
Atlet berusia 22 tahun dari Sentul yang diberi jolokan nama 'The Alligator' itu diumumkan pemenang selepas kedua mereka bertarung sebanyak tiga pusingan.
Ketangkasannya Agilan mempamerkan kemahirannya bergusti, bersama skil baharu yang dipelajari menerusi latihan bersama Team Quest, memaksa pengadil memberikan kemenangan kepada dirinya.
Ketika ditemu bual selepas pertarungan, Agilan mengucapkan terima kasih kepada penyokong yang memberikan sokongan kepadanya.
“Terima kasih kepada semua kerana menyokong saya,” katanya sambil diikuti sorakan kuat penyokong Malaysia.
Agilan yang kini mempunyai rekod kemenangan 8-1, pernah hampir meraih gelaran juara dunia kategori welterweight namun tewas di tangan petarung Amerika Syarikat, Ben Askren.
Sementara itu, dua lagi atlet MMA Malaysia, Ev Ting dan Gianni Subba turut mempamerkan aksi cemerlang dengan menewaskan lawan mereka dari Jepun.
Ev yang berdepan dengan Nobutatsu Suzuki, berjaya menumpaskan lawannya dalam pusingan pertama.
Manakala, Gianni pula mengalahkan lawannya, Riku Shibuya dalam tiga pusingan.