MMA: Bekas juara UFC Eddie Alvarez mahu bertarung di KL
Astro Awani
Oktober 30, 2018 00:05 MYT
Oktober 30, 2018 00:05 MYT
Selepas menyertai organisasi MMA terbesar Asia, ONE Championship, Eddie Alvarez mengakui dia tidak sabar untuk menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur.
Menurut bekas juara lightweight UFC itu, dia telah mendengar banyak cerita menarik tentang bandar raya itu, dan ia merupakan antara impiannya sejak sekian lama.
"Saya berminat untuk melawat beberapa tempat baru di benua tersebut termasuk Kuala Lumpur, Malaysia, selepas mendengar banyak cerita hebat tentang bandar itu.
"Saya tak pernah pergi ke Malaysia atau Thailand, dan ia menjadi impian kecil saya untuk melawat bahagian-bahagian dunia ini," katanya.
Kata Alvarez, namanya amat dikenali oleh peminat sukan tempur di Malaysia dan dia tekad mahu memberikan yang terbaik untuk peminatnya di sini.
Dia juga menyatakan hasrat untuk bertarung di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.
"Saya adalah nama yang dikenali di Malaysia dan penting bagi saya untuk dikenali oleh peminat dengan lebih dekat.
"Saya mahu bertarung di mana peminat mahu saya bertarung. Saya mahu pergi di mana sorakan peminat paling kuat," katanya.
Alvarez dari Amerika Syarikat, yang juga bekas juara lightweight Bellator diumumkan telah menyertai ONE Championship pada 17 Oktober lalu.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif ONE Championship, Chatri Sityodtong.
Alvarez, 34 tahun, membuat penampilan sulungnya dalam sukan MMA pada Disember 2003, dan sejak itu dia menjadi antara petarung paling berjaya dan diminati ramai.
Dia bergiat dalam pelbagai promosi MMA sebelum menyertai Bellator MMA pada 2009.
Selepas memenangi tiga gelaran welterweight, petarung yang bergelar 'The Underground King' itu kemudiannya menurunkan beratnya kepada kategori lightweight.
Dia memenangi kejuaraan lightweight UFC pada Julai 2016 di UFC Fight Night 90 selepas menewaskan petarung Brazil, Rafael dos Anjos.
Alvarez kemudiannya bertemu pula dengan bintang MMA dari Ireland, Conor McGregor pada November 2016.
Namun, dia gagal mempertahankan kejuaraannya apabila dia kalah dengan McGregor menerusi pukulan 'technical knockout' (TKO) pada pusingan kedua.