MMA: 'Bapa pergi sehari sebelum saya menang di Jakarta'
Syafique Shuib
September 17, 2017 15:12 MYT
September 17, 2017 15:12 MYT
Walaupun kehilangan bapa tercinta sehari sebelum perlawanan (Jumaat), ia tidak mematahkan semangat atlet seni mempertahankan diri campuran (MMA) negara, Hisyam Samsudin untuk meneruskan pertarungannya di Indonesia.
Hisyam tampil kuat untuk memenangi kejohanan ONE Championship 'Total Victory' di Pusat Konvensyen Jakarta pada Sabtu.
Dalam perlawanan tersebut, beliau menewaskan Jeremy Meciaz dari Indonesia.
Hisyam berkata bapanya, Samsudin Masaleko, 63 tahun, terbang dari Tawau ke Jakarta untuk memberikan sokongan kepadanya.
“Saya sempat mengambil swafoto bersama ayah di hotel di Jakarta (pada Khamis) dan kemudian beliau pergi ke tempat makcik saya. Keesokan harinya, ibu memberitahu ayah berada di hospital.
“Apabila saya tiba (di hospital), ibu berkata ayah sudah meninggal,” katanya kepada ketika ditemui pemberita.
Hisyam berkata, pada ketika itu, dia tidak pasti sama ada untuk meneruskan pertarungan ataupun tidak selepas pemergian bapanya itu.
“Ibu yang memberi dorongan kepada saya untuk meneruskan pertarungan kerana ibu kata ayah ingin lihat saya bertarung.
“Beliau datang sini untuk memberi sokongan kepada saya dan lihat saya menang. Kemenangan ini untuk ayah!” katanya lagi.
Bagaimanapun, atlet berusia 26 tahun itu tidak mendedahkan punca kematian ayahnya.
#Hisyam Samsudin
#Jakarta
#Jeremy Meciaz
#MMA
#ONE Championship
#ONE Total Victory
#Samsudin Masaleko