MMA: Aiman menang mudah di kejohanan ONE Championship Shanghai

Haider Yutim
September 8, 2018 21:35 MYT
Muhammad Aiman (kiri) menewaskan Chen Lei (kanan) di kejohanan ONE Championship 'Beyond The Horizon'. - Foto ONE Championship
MALAM yang membanggakan untuk negara apabila atlet seni beladiri campuran (MMA) Malaysia, Muhammad Aiman Raziz Affindi dengan mudahnya menundukkan petarung China pada kejohanan ONE Championship di Shanghai, sebentar tadi.
Anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan itu mempamerkan aksi cemerlang dengan mengalahkan lawannya, Chen Lei menerusi ‘submission’ (kuncian) dalam pusingan kedua.
Kemenangan itu mengejutkan penyokong-penyokong tuan rumah kerana ia merupakan kekalahan pertama Chen Lei dalam kariernya.
Semasa pusingan pertama, Muhammad Aiman, 23 tahun, yang diberi jolokan nama 'Jungle Cat' terpaksa berdepan ‘ground game’ yang hebat oleh lawannya.
Namun, serangan lutut oleh Muhammad Aiman pada pusingan kedua berjaya merebahkan Chen Lei.
Ia sekali gus membuka peluang kepada perserta negara itu membuat kuncian ke atas lawannya, serta mencatat kemenangan yang kelima dalam karier profesionalnya.
Kejohanan ONE Championship ‘Beyond The Horizon’ berlangsung di Baoshan Arena, Shanghai, China.
#Baoshan Arena #Beyond The Horizon #Chen Lei #China #Kuala Pilah #MMA #Muhammad Aiman #ONE Championship #seni beladiri campuran #Shanghai