MKN, KKM digesa pertimbang langkah kuarantin pegawai dan pemain positif COVID-19 sahaja
Bernama
Julai 27, 2021 04:00 MYT
Julai 27, 2021 04:00 MYT
KUALA LUMPUR: Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diharap mempertimbang untuk hanya memberi kebenaran kepada pemain yang disahkan negatif COVID-19 meneruskan latihan dan perlawanan.
Beberapa wakil pasukan Liga Malaysia (Liga-M) berharap hanya pegawai dan pemain pasukan yang positif COVID-19 dikuarantin bagi memastikan baki perlawanan Liga-M berlangsung seperti dirancang serta tidak menjejaskan perancangan pasukan dalam mengharungi tempoh itu.
Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC Aidil Sharin Sahak berkata pasukan itu terkesan dengan situasi tersebut selepas beberapa pemain dan pegawainya didapati positif COVID-19 sekali gus tidak dapat turun beraksi.
"Saya rasa itu penyelesaian terbaik yang perlu ada ketika ini, kalau tidak berapa banyak perlawanan yang perlu ditangguhkan lagi dan akan memakan masa yang lama. Satu hari sahaja lagi nak beraksi terpaksa terima berita penangguhan ini pada saat kami semua sudah bersedia dan perancangan semua sedikit terjejas.
"Jadi, saya rasa pertimbangan boleh diberi kepada mereka yang negatif untuk meneruskan tugas, ambil contoh liga-liga di luar negara, Eropah dan Euro 2020 sekali pun yang mana pemain positif sahaja perlu dikuarantin," menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.
Senada dengan beliau, Ketua Jurulatih Kuching City FC (KCFC) Irfan Bakti Abu Salim berkata pihaknya telah sedaya upaya mengikut segala arahan yang ditetapkan dan melihat cadangan itu adil kepada semua pasukan.
"Saya rasa itu langkah baik kerana pasukan kami memang akan sentiasa buat ujian RTK setiap kali perlawanan. Jadi seeloknya yang mana negatif, dapat dibenarkan untuk terus berlatih dan beraksi dalam perlawanan dan yang mana positif, teruskan kuarantin seperti yang ditetapkan.
"Kami di KCFC sentiasa ambil berat mengenai perkara ini dan sebab itu, kami tidak pernah ketinggalan untuk sentiasa melakukan ujian, jadi sekiranya yang mana ada ini hasil ujian adalah negatif, saya harap kami dapat diberi kelonggaran untuk sambung beraksi," katanya.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan turut meminta agar prosedur operasi standard (SOP) penganjuran Liga-M dikaji semula dan permohonan berhubung perkara itu sudah dihantar melalui Kementerian Belia dan Sukan untuk pertimbangan KKM serta MKN.
Dua perlawanan Liga Super melibatkan KDA FC menentang Penang FC serta Petaling Jaya City FC telah ditunda ekoran terdapat beberapa pemain diuji positif COVID-19.
Bagi Liga Premier, tiga perlawanan turut ditunda membabitkan Sarawak United FC menentang Perak FC II, KCFC menentang Terengganu FC II dan KCFC menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) II.
-- BERNAMA