Misi Malaysia robohkan 'tembok halangan' ke Piala Asia bermula

Bernama
Jun 7, 2022 19:05 MYT
Malaysia dijangka berdepan cabaran sengit dalam dua aksi pertama apabila bertemu Turkmenistan (ke-134) dan Bahrain (ke-89) sebelum berdepan lawan di ranking lebih rendah, Bangladesh.
KUALA LUMPUR: Sudah 15 tahun berlalu sejak Malaysia membuat penampilan terakhir pada pentas pusingan akhir kejohanan bola sepak Piala Asia ketika menjadi tuan rumah bersama pada edisi 2007.
Ketika itu, penantian semua pihak untuk melihat Malaysia beraksi di pentas kejohanan berprestij bola sepak Asia akhirnya tercapai selepas pasukan negara gagal melayakkan diri secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait.
Namun sehingga saat ini Malaysia masih memburu tiket ke pusingan akhir Piala Asia dengan perjalanan mereka yang sering terhenti di pusingan ketiga kempen kelayakan meskipun ketua jurulatih bersilih ganti.
Bermula esok, pasukan negara sekali lagi akan mencuba dengan giliran jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan Gon menggalas tanggungjawab membimbing skuad Harimau Malaya untuk berdepan 'tembok halangan' yang gagal dilepasi lebih 40 tahun.
Diundi dalam Kumpulan E, Malaysia akan memulakan misi ke Piala Asia 2023 bertemu Turkmenistan esok diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh pada 14 Jun dengan kesemua aksi berlangsung di Stadium Nasional di Bukit Jalil.
Berdasarkan ranking, Malaysia ke-154 dunia dijangka berdepan cabaran sengit dalam dua aksi pertama apabila bertemu Turkmenistan (ke-134) dan Bahrain (ke-89) sebelum berdepan lawan di ranking lebih rendah, Bangladesh yang berkedudukan ke-188 dunia.
Lebih sukar apabila Turkmenistan dan Bahrain yang membuat penampilan pada pusingan akhir edisi 2019 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) selepas masing-masing muncul naib juara dan juara kumpulan pusingan kelayakan dengan Bahrain juga konsisten layak ke Piala Asia sejak edisi 2004.
Bagaimanapun, kekurangan perlawanan kompetitif Turkmenistan dan rekod jaringan dicipta Malaysia dalam beberapa aksi persahabatan antarabangsa sebelum ini, dilihat memberi kelebihan kepada pasukan tuan rumah untuk meraih tiga mata pada pertembungan itu.
Turkmenistan yang diberi jolokan 'The Greens' tewas 0-1 kepada Thailand pada perlawanan kompetitif pertama mereka sejak Jun 2021, hujung Mei lepas, sementara Malaysia mencatat tiga kemenangan dalam empat aksi terakhir, terbaru menang 2-0 ke atas Hong Kong di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pemain sayap berpengalaman, Arslanmyrat Amanow berusia 32 tahun antara pemain taruhan Turkmenistan dengan beliau kini hanya tiga jaringan dipisahkan daripada menyamai rekod penjaring terbanyak pasukan yang dipegang Vladimir Bayramov dengan 16 gol.
Berdasarkan rekod, perlawanan bertemu Turkmenistan bakal menjadi pertemuan pertama kedua-dua pasukan di pentas antarabangsa.
Sementara itu, berdepan Bahrain yang hanya mencatat satu kekalahan dalam tujuh aksi terakhir termasuk dua kemenangan di tempat lawan masing-masing menentang Myanmar dan Thailand bulan lepas, Malaysia dijangka berdepan saat sukar dalam misi membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.
Pertembungan terakhir kedua-dua pasukan pada Mei tahun lalu yang menyaksikan skuad tuan rumah bimbingan Helio Sousa itu pula berjaya menundukkan Malaysia 2-0 yang ketika itu di bawah kendalian bekas ketua jurulatih Tan Cheng Hoe.
Bahrain yang diberi jolokan 'Dilmun's Warriors' adalah pasukan pilihan untuk menjuarai saingan Kumpulan E.
Dalam pada itu, meskipun menjadi pasukan di kedudukan ranking lebih rendah, Bangladesh berupaya memberikan kejutan kepada pasukan negara selepas berjaya mengikat naib juara Piala AFF 2020, Indonesia, tanpa jaringan pada aksi persahabatan di Indonesia, awal bulan ini.
Mengikut statistik, Malaysia mempunyai rekod bersih berdepan Bangladesh apabila melakar tujuh kemenangan dan dua seri sepanjang 10 pertemuan dengan kali terakhir kedua-dua pasukan berentap adalah pada 2012 yang menyaksikan perlawanan persahabatan berakhir dengan keputusan seri 1-1.
Untuk layak secara merit ke Piala Asia 2023, Malaysia perlu menjuarai Kumpulan E atau muncul antara lima naib juara terbaik dalam kempen kelayakan kali ini.
-- BERNAMA
#harimau Malaya #Piala Asia #bola sepak #kempen kelayakan
;