Misi kemerdekaan Ziyad di Paralimpik Tokyo
Bernama
Ogos 24, 2021 12:57 MYT
Ogos 24, 2021 12:57 MYT
TOKYO: Jaguh olahraga para kebangsaan, Muhammad Ziyad Zolkefli mempunyai misi istimewa untuk dilunaskan buat negara tercinta Sukan Paralimpik Tokyo kali ini.
Selain mempertahankan pingat dimenanginya di Rio 2016, Muhammad Ziyad yang bersaing dalam acara lontar peluru T20 (masalah pembelajaran) menyatakan hasrat tidak mahu mensia-siakan peluang beraksi di Stadium Olimpik pada tanggal 31 Ogos ini.
Muhammad Ziyad menyifatkan penampilan ketiganya pada Sukan Paralimpik akan menjadi lebih bermakna, sekiranya dapat menambah koleksi emas buat negara pada tarikh bersejarah itu, yang secara kebetulan merupakan sambutan Hari Kebangsaan ke-64, di Malaysia.
"Saya akan cuba buat sebaik mungkin dalam Paralimpik Tokyo dan sudah semestinya saya berasa bangga, sekiranya dapat meraih emas pada 31 Ogos ini," katanya kepada Bernama.
Atlet berumur 31 tahun itu mencipta sensasi di Rio 2016, apabila memecahkan rekod baharu dunia dan Paralimpik dengan jarak 16.84 meter (m) untuk merangkul emas, sekali gus memadam rekod milik atlet Australia Todd Hodgetts.
Tidak cukup dengan itu, beliau terus unggul dalam acara disertainya apabila memperbaharui rekod dunia yang dilakukannya sebelum ini, dengan lontaran sejauh 17.29m pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London 2017.
Sementara itu, Muhammad Ziyad memaklumkan persiapannya ketika ini berjalan lancar, walaupun terpaksa menjalani latihan di bawah konsep gelembung sukan sejak tahun lepas, susulan pandemik COVID-19.
Muhammad Ziyad tidak keseorangan dalam kempennya di Tokyo, apabila turut disertai dua pemenang emas Rio 2016 Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi bagi acara 100m T36 (celebral palsy) dan Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran).
Bukan itu sahaja, dua lagi atlet yang melengkapkan cabaran negara bagi sukan olahraga para ialah Siti Nooriasah Mohamad Ariffin dalam acara 400m wanita T20 (masalah pembelajaran) dan Wong Kar Gee untuk lompat jauh T13 (masalah penglihatan).
Bagi edisi kali ini, seramai 22 atlet akan menyahut cabaran mengibar Jalur Gemilang dalam sembilan jenis sukan disertai kontinjen negara, pada temasya berprestij di Jepun itu.
Sukan Paralimpik Tokyo akan dibuka secara rasmi malam ini dan berakhir pada 5 Sept.
Berikut adalah profil Muhammad Ziyad:
Nama penuh: Muhammad Ziyad Zolkefli
Umur: 31 tahun
Tarikh lahir: 15 Mac 1990
Tempat lahir: Kuantan, Pahang
Hobi: Menonton wayang
Pencapaian terbaik: Emas Sukan Paralimpik Rio 2016, gangsa Sukan Paralimpik. London 2012, juara dunia 2013 dan 2017, emas Sukan Para Asia 2018
-- BERNAMA