Misi atlet paralimpik buru pingat emas pertama di Rio

Bernama
September 6, 2016 23:37 MYT
KHAIRI: Lebih separuh dari jumlah atlet yang membawa cabaran Malaysia di Rio de Janeiro kali ini berada dalam kedudukan ranking 10 terbaik dunia. - Gambar fail
Kegemilangan Sukan Olimpik masih segar dalam ingatan masyarakat dunia dan kini Brazil sekali lagi mahu membuktikan kehebatannya menganjurkan temasya Sukan Paralimpik pula.
Mulai esok hingga 18 Sept ini, lebih 4,000 atlet dari 160 negara akan bersaing dalam 23 acara sukan di stadium dan gelanggang yang sama digunakan untuk Sukan Olimpik.
Kontinjen Malaysia seramai 21 atlet yang diketuai ketua kontinjen, Dr Ang Kean Koo, akan mengambil bahagian dalam lapan daripada 23 jenis sukan yang dipertandingkan dengan olahraga, powerlifting dan berbasikal dianggap mempunyai prospek pingat.
Penampilan kontinjen negara kali ini lebih meyakinkan kerana rata-rata atlet elit itu telah melayakkan diri secara merit, tidak seperti edisi terdahulu.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Dr Khairi Zawi dalam satu temubual eksklusif bersama Bernama berkata beliau tidak terkejut sekiranya kontinjen paralimpik negara berjaya menempa kejayaan gemilang di sana.
"Kebanyakan atlet yang diletakkan sasaran berada di kedudukan terbaik dunia dan ada antara mereka hampir menyamai rekod atlet normal," katanya.
Lebih separuh dari jumlah atlet yang membawa cabaran Malaysia di Rio de Janeiro kali ini berada dalam kedudukan ranking 10 terbaik dunia.
Antaranya ialah Abdul Latif Romly yang akan beraksi dalam acara lompat jauh lelaki T20 (masalah pembelajaran), yang mana beliau berjaya mengatasi atlet normal di Sukma Sarawak dengan jarak 7.46 meter, catatan terbaiknya selepas meraih pingat emas di Kejohanan Dunia IPC di Doha, Qatar dengan 7.35m.
"Saya hanya perlukan teknik lompatan yang betul. Mudah-mudahan, saya boleh mencapai sasaran untuk memenangi pingat emas di Rio dan dapat memecahkan rekod dunia," kata atlet berusia 19 tahun dari Beseri, Perlis itu.
Rekod dunia dalam acara itu ialah 7.48m yang dipegang Jose Antonio Pineiro dari Sepanyol pada 2005.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin turut memberitahu atlet negara untuk berjuang menaiki podium atau setidak-tidaknya mencipta rekod kebangsaan atau catatan peribadi terbaik.
Sebagai rekod, Malaysia mula menyertai Sukan Paralimpik pada 1972 di Heidelberg, Jerman dengan hanya melibatkan tiga atlet sahaja, namun untuk tiga temasya berikutnya tiada atlet negara yang terlibat.
Kontinjen negara kembali menyertai temasya berkenaan pada 1984 di Seoul, Korea Selatan dan berjaya memenangi pingat pertama menerusi P. Mariappan dalam acara powerlifting yang meraih pingat gangsa.
Pada temasya berikutnya di Barcelona pada 1992, kontinjen Malaysia memperbaiki pungutan pingat dengan satu pingat perak melalui Cheok Kon Fatt dalam acara powerlifting dan dua gangsa masing-masing oleh Mariappan (powerlifting) dan Mohd Khasseri Othman (olahraga).
Pada edisi ke-13 di Beijing, China pada 2008, atlet powerlifting, Siow Lee Chan mencatat sejarah negara dengan muncul atlet wanita pertama memenangi pingat di temasya itu. Pingat itu adalah satu-satunya pingat kontinjen Malaysia di Beijing.
Seterusnya di London pada 2012, kontinjen negara meraih satu pingat perak melalui Hasihin Sanawi dalam acara memanah recurve dan satu pingat gangsa melalui Muhammad Ziyad Zolkefli dalam olahraga (lontar peluru).
#Ang Kean Koo #dr khairi zawi #Paralimpik #Sukan Olimpik
;