Misbun yakin percaturan menjadi
Astro Arena
Mei 17, 2018 06:46 MYT
Mei 17, 2018 06:46 MYT
KETUA jurulatih perseorangan badminton negara, Datuk Misbun Sidek, memberi jaminan sumbangan mata daripada empat pemain perseorangan pilihannya dalam Piala Thomas mampu membawa pasukan menepati sasaran separuh akhir bagi edisi kali ini.
Kejohanan Piala Thomas 2018 menjadi perhatian dalam usaha untuk mengembalikan semula nama negara sebagai gergasi badminton dunia, sekali gus menjadikan produk kelahiran Misbun dan Cheah Soon Kit yang merupakan ketua jurulatih beregu negara mula menjadi sebutan.
Menerusi empat pilihan Misbun, ternyata masing-masing memiliki perwatakan yang mampu menjadi kekuatan negara sekiranya percaturan itu benar-benar menjadi kali ini.
Misbun juga menegaskan senarai yang diberi sememangnya pilihan terbaik yang dimiliki Malaysia ketika ini.
"Terdapat dua pemain muda, iaitu Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao, jadi saya harap mereka berdua dapat menyumbang dan memberi prestasi terbaik jika diturunkan.
"Buat Datuk Lee Chong Wei dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin, sebagai pemain senior diharap dapat memberikan kejayaan dalam kempen kali ini," kata Misbun.
Sementara itu, pemain beregu lelaki negara, Arif Abdul Latif, menegaskan konsep 'pasangan bidan terjun' melibatkan kombinasi tiga pemain beregu negara mampu menjadi senjata rahsia Malaysia dalam saingan kali ini.
Sepuluh tahun lalu berada di pentas Piala Thomas sebagai pemain perseorangan, Arif mengharapkan tuah selaku pemain beregu kali ini lebih memihak kepadanya.
"Untuk 'pasangan bidan terjun' ini, mungkin jurulatih sudah menemui jawapan untuk bertemu pasukan lawan," ujar Arif.
Sementara itu, kapten skuad Piala Uber negara, Vivian Hoo, tidak mahu kelibat skuad negara dalam saingan kali ini sekadar menyerah kepada kekuatan pencabar utama seperti China dan Indonesia.
Di atas kertas, sudah pasti situasi tidak memihak kepada mereka tetapi turun ke gelanggang selaku bukan pilihan sekurang-kurangnya memberi kelebihan buat Malaysia.
"Kali ini, kami ke sana sebagai sebuah pasukan yang ingin bersaing dengan pasukan yang lebih baik. Tekanan tiada buat kami," katanya.
#Arif Abdul Latif
#badminton
#Cheah Soon Kit
#Indonesia
#Lee Chong Wei
#Lee Zii Jia
#Leong Jun Hao
#Misbun Sidek
#Piala Thomas 2018
#Piala Uber
#Vivian Hoo