Misbun tidak sabar mulakan khidmat
Astro Arena
Jun 28, 2017 22:52 MYT
Jun 28, 2017 22:52 MYT
KETUA jurulatih perseorangan badminton lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, tidak sabar menunggu 3 Julai untuk memulakan sesi latihan pertamanya selepas dilantik oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM), awal bulan lalu.
Misi pertama Misbun dilihat cukup getir apabila perlu mempersiapkan Datuk Lee Chong Wei menjelang Kejohanan Dunia di Glasgow, Ogos depan.
Biarpun mengecapi pelbagai kejuaraan sepanjang bergelar pemain perseorangan utama negara, namun Chong Wei masih belum berpeluang untuk bergelar juara dunia.
“Sebagai bekas jurulatihnya dulu, saya akan bekerjasama dengannya untuk sampaikan apa yang diimpikan sebagai pemain,” katanya.
Dalam masa sama, Misbun menegaskan dia akan cuba mengikut peredaran zaman untuk menyesuaikan latihan terhadap anak-anak buahnya, namun tetap mengharapkan disiplin yang tinggi.
“Banyak yang harus dipersiapkan dan tempat ini adalah tempat baru, jadi saya mengambil iktibar dan banyak perkara yang perlu disusun sebelum memulakan kerja,” tambahnya.
#badminton
#BAM
#ketua jurulatih
#Lee Chong Wei
#Misbun Sidek
#Persatuan Badminton Malaysia
#sesi latihan