Minta Kementerian Pendidikan masukkan sukan angkat berat dalam program MSSM

Bernama
April 23, 2017 07:00 MYT
Persatuan Angkat Berat Negeri Kedah akan bekerjasama dengan Persatuan Angkat Berat Thailand dalam usaha melatih dan menaikkan semula sukan itu di Kedah. - Gambar fail
Persatuan Angkat Berat Negeri Kedah meminta Kementerian Pendidikan memasukkan sukan angkat berat dalam program Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).
Presidennya, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata ia bagi memberi lebih ruang untuk melahirkan lebih ramai atlet angkat berat dalam kalangan pelajar sekolah yang boleh mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.
"Sekarang sukan angkat berat hanya melibatkan latihan di sekolah namun tidak dipertandingkan dalam kalendar MSSM. Jadi tidak salah untuk kementerian memasukkan satu lagi sukan iaitu angkat berat dalam senarai sedia ada.
"Jika kita lihat Thailand, murid sekolah seawal tujuh tahun telah dilatih dalam sukan ini dan saya yakin kita juga mampu menggilap dan melahirkan lebih ramai atlet angkat berat pada masa akan datang sekiranya sukan ini diberi perhatian yang serius oleh kementerian," katanya dalam sidang media di sini pada Ahad.
Mohd Rawi berkata persatuan juga akan turun ke daerah-daerah di negeri ini bagi mencari bakat baharu untuk digilap dalam sukan itu.
"Banyak lagi bakat baharu yang boleh kita gilap untuk sukan ini. Sekarang Majlis Sukan Negeri sedang melatih 17 atlet dari beberapa sekolah sebagai persediaan bagi temasya Sukma (Sukan Malaysia) ke-19 di Perak tahun depan.
"Kita tidak meletak harapan tinggi untuk Sukma tahun hadapan kerana persatuan masih dalam peringkat awal menaikkan semula sukan angkat berat tetapi untuk Sukma 2020 di Johor kita letak sasaran pingat emas," katanya.
Menurutnya, Persatuan Angkat Berat Negeri Kedah akan bekerjasama dengan Persatuan Angkat Berat Thailand dalam usaha melatih dan menaikkan semula sukan itu di negeri ini.
Terdahulu, Mohd Rawi yang merasmikan Mesyuarat Agung Pertama Persatuan Angkat Berat Negeri Kedah berkata penubuhan persatuan itu adalah sebagai usaha menjadikan sukan tersebut sebagai sukan utama negeri ini.
"Banyak aktiviti yang telah kita rancang bagi mencapai tujuan penubuhan persatuan ini termasuk ingin mewujudkan sekolah angkat untuk sukan angkat berat di setiap daerah selain membina pusat latihan bertaraf antarabangsa di Kedah," katanya.
- BERNAMA
#angkat berat #Majlis Sukan Sekolah Malaysia #mohd rawi abd hamid #Persatuan Angkat Berat Negeri Kedah #sukan
;